Saturday 2 April 2016

Memisah urusan agma dengan kehidupan

Barat membawa budaya berasaskan kepada pemikiran mencapai matlamat hidup tanpa berpandukan kepada asas kepercayaan agama. Biarpun masyarakat Barat menganuti agama, tetapi mereka memisahkan urusan hidup seharian dengan agama. Urusan agama hanya dilakukan di tempat ibadat atau majlis tertentu sahaja.

Amalan ini jauh bertentangan dengan peradaban Islam. Islam menetapkan segala urusan hidup berteraskan kepada mematuhi perintah Allah SWT. Biarpun apa diusahakan itu untuk keperluan dunia, ia tidak terlepas dari rangka mendapat keredaan Allah.

Barat menawarkan cara hidup yang bebas. Hal inilah cuba disogokkan kepada umat Islam. Mereka membina hubungan dengan Islam secara polimik yang sering memperlihatkan pertentangan. Atas dasar kebebasan hak, banyak peraturan agama Islam dilabelkan sebagai kolot.

Barat mempersoalkan aturan agama Islam sepatutnya memberi pilihan untuk mencapai kebaikan atau matlamat hidup. Menyekat atau membuat batasan kebebasan akan menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam arus kehidupan kini.  

Mereka cuba memberi kefahaman bahawa punca kemunduran umat Islam adalah disebabkan mengikut acuan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW beribu tahun lalu yang jauh berbeza dengan sekarang.

Barat turut mendakwa, apa yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu adalah untuk masyarakat Arab pada waktu itu. Keperluan hidup manusia berbeza mengikut kawasan tempat tinggal yang melibatkan budaya, cuaca dan keadaan persekitaran.

Jadi, untuk mencapai kemajuan hidup perlulah mengikut peredaran masa dan keperluan sebenar masyarakat di sesuatu tempat.

Sesungguhya, apa yang didakwa Barat itu adalah serangan pemikiran yang cuba mengubah akidah umat Islam. Dengan mengubah pemikiran inilah maka dengan mudahnya mereka menjadikan umat Islam mengikut aliran pemikiran Barat.

Umat Islam perlu ditanam dengan jati diri bahawa aturan syariat yang ditetapkan Allah adalah yang terbaik dan sesuai dengan fitrah manusia. Manusia yang cuba mengubah apa yang ditetapkan oleh Maha Pencipta tidak akan mencapai kebaikan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Umpama kita cuba mengubah aturan yang ditetapkan oleh pembuat kereta dengan memasukkan atau membuang alatan tertentu, maka kereta itu tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia akan membahayakan pemandu dan penumpang kereta itu.

Maka itu juga dengan manusia. Kita perlu menjauhkan dari golongan yang cuba mengubah aturan hidup. Jika kita terus bersama mereka, kita juga yang akan menanggung dan berdepan dengan keadaan bahaya dan merosakkan.

No comments:

Post a Comment