Sunday, 5 June 2016

MULAI BERCAKAP DENGAN SALAM

Islam agama yang syumul telah mengatur cara hidup yang sempurna dalam semua aspek untuk diamalkan oleh penganutnya.  Antara perkara yang dianjurkan agar diamalkan dalam ajaran Islam ialah mengucapkan salam dan menjawab salam.  Amalan itu mempunyai banyak kebaikan jika diamalkan dalam kehidupan seharian.  

Pada asasnya ucapan salam sama tujuannya dengan ucapan sapaan seperti helo, hai, apa khabar dan selamat pagi. Bagaimanapun, pada hakikatnya salam tidak boleh disamakan dengan mana-mana perkataan sapaan lain yang sekadar satu ucapan biasa. 

Berlainan dengan ucapan salam yang  mempunyai kelebihan jika diamalkan kerana ia ucapan yang berdasarkan kepada kehendak agama. 

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)

Hadis itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan Muslim lain.  Malah dalam hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan dengan salam. 

Maka sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam dan menjawab salam kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali betapa pentingnya ucapan salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.

Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan memberi salam.”

No comments:

Post a Comment