Saturday 17 February 2018

PANDUAN PESAKIT ASMA LAKU AKTIVITI LASAK


Pesakit asma akan berdepan masalah untuk melakukan aktiviti lasak seperti berlari. Namun, itu tidak bermakna pesakit asma langung tidak boleh melakukan aktiviti lasak.

Apa yang penting aktiviti itu dilakukan dengan 'kawalan' dan memenuhi beberapa pra-syarat. Bahkan melakukan aktiviti lasak memberi kebaikan kepada pesakit asma.

Aktiviti larian riadah boleh membantu pesakit mengawal asma mereka dengan lebih baik. Lebih banyak anda lakukan aktiviti fizikal, lebih banyak anda berlari, lebih baik kawalan asma anda.

Satu kajian sistematik dan analisis meta membuktikan mereka yang mempunyai tahap aktiviti fizikal yang tinggi boleh mengurangkan kadar berlakunya serangan asma.

Malah dalam ulasan jurnal perubatan lain mengatakan walaupun aktiviti fizikal tidak banyak mengubah fungsi paru-paru tetapi ia dapat meningkatkan fungsi jantung dan kadar maksimum pengambilan oksigen, sekali gus mengurangkan potensi untuk mendapat asma.  

Pesakit asma yang berhasrat terbabit dalam aktiviti aktif seperti larian perlu meneliti beberapa perkara antaranya:

- Memastikan asma anda terkawal. Sekiranya pesakit sering mendapat serangan, pergilah berjumpa doktor. Dapatkan rawatan dan mulakan rawatan pencegahan.

- Kenal pasti apa yang menyebabkan serangan asma. Adakah cuaca sejuk? Debunga? Alahan? Selesema?

Kalau cuaca sejuk di luar, buatlah aktiviti di dalam rumah atau kenakan pakaian yang boleh memanaskan badan. Kalau alahan pastikan anda mengelak dengan sumber penyakit itu.

- Mulakan dengan perlahan dan tingkatkan kelajuan. Kalau baru mula berlari, mulakan dengan berjalan sebelum tingkatkan kelajuan secara beransur-ansur.

Tetapi bagi pesakit sudah biasa berlari, jangan terus memecut. Sebaliknya mula perlahan-lahan, kemudian naikkan kelajuan mengikut rentak larian.

- Sesetengah orang dapat serangan asma apabila berlari dalam jangka masa lama. Sekiranya anda begitu, gunakan strategi ‘jalan-lari-jalan’. Lari untuk beberapa minit, kemudian jalan untuk beberapa minit dan lari kembali.

- Pentingnya sesi memanaskan dan menyejukkan badan. Sebelum melakukan aktiviti pastikan panaskan badan terlebih dulu.
Kalau pam pelegaan warna biru membantu, boleh ambil sebelum bermula aktiviti.

- Sentiasa bawa pam pelegaan/pam biru/mdi salbutamol setiap kali berlari. Beritahu rakan mengenai penyakit asma dan di mana anda menyimpan pam berkenaan.

- Berhenti lakukan aktiviti sebaik menyedari tanda-tanda serangan asma. Cepat ambil pam pelegaan sebelum simptom menjadi lebih buruk.

No comments:

Post a Comment