Saturday 2 June 2018

HUKUM BOHONG SUNAT

Benarkah ada ‘bohong sunat’ sepertimana istilah yang biasa digunakan di kalangan khalayak. Bohong sama erti dengan tipu atau menipu. Ramai orang mengaku dirinya berbohong atas dasar ia sunat untuk mendapat kebaikan atau mengelak daripada sesuatu yang buruk. 

Konsep bohong sunat hampir sama dilakukan oleh penganut fahaman Syiah yang disebut Taqiyah, iaitu menyembunyikan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu perkara. Di kalangan Syiah, amalan bohong menjadi satu perkara yang dianggap mendatangkan pahala.  

Dalam fahaman Ahli Sunah Waljamaah, tidak ada konsep bohong sunat. Bohong atau dalam bahasa Arab disebut al-kazib amat ditegah sama sekali. Berbohong adalah perbuatan dosa besar yang disebut dalam hadis sebagai salah satu perbuatan orang munafik. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda seseorang munafik itu adalah tiga perkara iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apa bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Munafik bermakna tidak sepenuhnya beriman kepada Allah. Orang munafik mengaku beriman, tetapi tidak dengan sesungguhnya.  

Manakala itu firman Allah bermaksud: “Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah pendusta.” - (Surah an-Nahl, ayat 105). 

Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis, jelas sekali berbohong amat ditegah. Jadi, tidak benar jika dikatakan ada bohong sunat. Jangan sebut bohong sunat atas alasan untuk membenarkan berbohong.

Jika ada bohong sunat, bermakna sesiapa berbohong akan mendapat pahala. Maksud sunat adalah sesuatu yang jika dilakukan akan mendapat pahala lebih berbanding perbuatan harus lain. Maknanya ia perbuatan yang dituntut.

Jika, ada bohong sunat, maka akan berleluasalah perbuatan bohong. Masing-masing akan berbohong atas alasan mengaku melakukan perbuatan sunat untuk mendapat pahala. 

Jika perbuatan bohong berlaku secara berleluasa, maka akan hancur hidup bermasyarakat. Tiada lagi sikap saling mempercayai dan keikhlasan. Tiada akan lahir lagi kesetiaan dan perkataan yang boleh dipercayai.

Betapa buruknya kesan perbuatan berbohong. Jadi, jangan lagi ada orang mengatakan dia melakukan tipu atau bohong sunat.  

No comments:

Post a Comment