Saturday 2 June 2018

SYARAT DIBENAR ATAU HARUS BERBOHONG

Bohong atau dalam bahasa Arab disebut al-kazib amat ditegah sama sekali. Berbohong adalah perbuatan dosa besar yang disebut dalam hadis sebagai salah satu perbuatan orang munafik. Namun, dalam keadaan tertentu ada bohong, tipu atau dusta yang dibenarkan.

Islam hanya mengharuskan berbohong yang terpaksa dilakukan semata-mata untuk tujuan kebaikan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan kebahagiaan.

Pembohongan dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi peperangan. Pembohongan dalam peperangan adalah adalah sebahagian perang saraf atau tipu muslihat. Jika melakukan apa yang benar dalam peperangan, sukarlah untuk menang, sebaliknya mudah pula dikalahkan oleh musuh.   

Manakala situasi diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat ialah menyatakan sesuatu yang difikirkan akan mengelak perselisih faham atau dengannya akan menyatukan semula pihak yang bertelingkah.  . 

Sesungguhnya mendamaikan dua pihak bertelingkah adalah satu tugas yang perlu diusahakan dengan apa jua cara yang sesuai. Firman Allah bermaksud: “Damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah.” - (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Adapun berbohong atas tujuan mengelak persengketaan dalam rumahtangga diharuskan kerana ia cara paling selamat dan berkesan. Namun, ia bukan bermakna diharuskan sengaja mencipta pembohongan untuk melakukan sesuatu. 

Pembohongan yang sengaja diada-adakan sekadar untuk mencari kebebasan melakukan perkara ditegah adalah diharamkan. Hubungan suami isteri perlu diperkukuhkan dengan perasaan jujur, berterus terang dan saling mempercayai.    

Pembohongan hanya diharuskan apabila terlanjur melakukan sesuatu yang difikirkan mencetuskan sengketa rumahtangga, maka diharuskan menutup apa telah dilakukan itu seolah-olah tidak berlaku. 

No comments:

Post a Comment