Saturday 2 June 2018

APA HUKUM TERPAKSA BERBOHONG

Semua pembohongan atau penipuan diharamkan, melainkan atas dasar terpaksa. Islam membenarkan dilakukan perbuatan pada asalnya diharamkan, dilakukan dalam keadaan terpaksa bagi mengelak daripada keburukan.

Firman Allah dalam surah al-Anam, ayat 119 bermaksud: “Sedang Dia (Allah) telah jelaskan kepada kamu apa-apa yang diharamkan-Nya ke atas kamu, kecuali apabila yang terpaksa.”

Islam mengharuskan berdusta semata-mata untuk tujuan kebaikan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan kebahagiaan.

Pembohongan dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi peperangan. Rasulullah merupakan panglima perang yang bijak merancang strategi. Contohnya, dalam usaha menguasai kota Makkah pada tahun kelapan Hijrah, baginda melakukan tipu muslihat paling berkesan.

Ketika Rasulullah memimpin angkatan perang menuju ke Makkah, baginda tidak menggaunakan jalan biasa menuju ke Makkah. Sebab itu, puak Musyrikin di Makkah tidak menduga angkatan perang itu menuju ke Makkah. Mereka hanya mengetahui apabila angkatan perang telah berada berhampiran kota. 

Ketika bemalam di luar kota, tentera Islam memasang sekian banyak unggun api bagi mengelirukan musuh jumlah sebenar tentera Islam. Puak musyrikin yang mengintip kekuatan tenterta Islam menyangka jumlahnya mungkin mencecah lebih tiga atau empat puluh ribu orang, sedangkan jumlah sebenarnya hanya 10,000 orang. 

Disebabkan terlalu yakin jumlah tentera Islam terlalu ramai dan tiada persiapan perang di pihak Musyrikin, maka pihak Musyrikin telah mengaku kalah dan membiarkan tentera Islam menguasai kota Makkah dengan mudah. 

Dalam peperangan Khandak, Rasulullah menggunakan Naeem bin Masud al-Ghatfani untuk memecah belahkan kesatuan pihak musuh dengan menyebarkan berita palsu. 

Pembohongan Naeem ternyata berjaya melemahkan kekuatan tentera musuh apabila wujud perasaan curiga tentang kesetiaan pakataan. Kedudukan musuh yang tidak bersatu memudahkan tentera Islam memenangi peperangan tersebut. 

Situasi diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat ialah menyatakan sesuatu yang difikirkan akan mendatangkan kebaikan bersama. Kita diharuskan berbohong sebagai mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Umpamanya, kita mendengar individu atau kumpulan mengatakan perihal keburukan individu atau kumpulan lain yang sememangnya kita mengetahuinya betul. Untuk mengelak cakap-cakap itu merebak dan kemungkinan berlaku persengketaan, maka harus kita berbohong bahawa apa diperkatakan itu tidak benar. 

Sebagai orang tengah dalam pertelingkahan kita tersempit dengan desakan pihak ingin mengetahui perkara diperkatakan pihak berlawanan. Kita mengetahui tentang kata-kata buruk dilempar kedua-dua pihak. Dalam hal ini, kita harus berbohong mengatakan kedua-duanya tidak mengatakan perihal keburukan. 

Ibu bapa perlu menjauhkan kebiasaan berjanji bohong kepada anak-anak.  Ibu bapa biasa berjanji sebagai satu cara memujuk anak. Dalam keadaan terdesak, keharusan berjanji bohong masih boleh diterima pakai.

Tetapi, jika setiap kali berjanji terkandung maksud bohong, ia satu perbuatan keji.  Dalam kes berjanji bohong dilakukan ibu bapa terhadap anak-anak, perbuatan tersebut seperti mendidik anak bersifat bohong.

Amat penting bagi ibu bapa mendidik anak agar menjauhi sifat berbohong.  Didikan paling berkesan agar anak tidak berbohong ialah ibu bapa sendiri tidak berbohong. Menakut-nakutkan anak dengan sesuatu yang tidak wujud juga satu pembohongan.

No comments:

Post a Comment