Saturday 28 July 2018

USAHA PERTAHAN NEGARA TUNTUTAN AGAMA

Mengikut teori kenegaraan, rakyat adalah sebahagian komponen sesebuah negara. Komponen lain ialah pemimpin, tanah air dan kedaulatan. Setiap komponen itu saling melengkapkan untuk mewujudkan sebuah negara dalam erti kata sebenar. Tanpa mana-mana satu komponen tersebut, sesebuah ‘negara’ tidak layak dipanggil negara.

Sebagai rakyat, kita mesti melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang selayaknya. Kita perlu sedar, apa yang dilakukan oleh rakyat, tidak kira baik atau buruk, memberi kesan terhadap negara. Jangan pandang kecil kesan terhadap setiap perbuatan yang dilakukan.

Satu tanggungjawab bagi setiap rakyat ialah mempertahankan negara dengan sepenuh hati. Usaha tersebut samalah seperti melakukan untuk diri sendiri kerana hasilnya dinikmati oleh setiap rakyat. 

Justeru, rakyat mesti berhati-hati agar apa yang dilakukan agar tidak menyalahi undang-undang dan inspirasi negara.

Rakyat perlu bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dinikmati sekarang. Kesyukuran itu wajar dizahirkan dengan meningkatkan kecintaan dan ketaatan kepada negara. Bayangkan jika negara kita belum merdeka atau berlaku kekacauan dan perang saudara seperti yang berlaku di sesetengah negara.  

Sekiranya rakyat tidak bersyukur, pada masa akan datang Allah akan menggantikannya dengan keburukan. Banyak negara yang pada satu ketika dahulu begitu gagah dan terkenal menjadi runtuh disebabkan rakyat lalai menjalankan tanggungjawab mempertahankan negara.  

Sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka (KMM) pada tahun 1511 patut dijadikan renungan dan pengajaran kita. KMM sebuah kerajaan yang kuat dengan mudah dikalahkan oleh tentera Portugis amat sedikit bilangannya ketika melakukan serangan. 

Kekalahan tersebut berpunca adanya pemimpin KMM menjadi talibarut kepada Portugis. Keadaan bertambah buruk apabila mereka berpecah sesama sendiri. 
 
Mematuhi undang-undang dan menyokong dasar kerajaan merupakan sebahagian daripada jihad. Yakni, bersedia melaksanakan sesuatu untuk kebaikan negara. Kepatuhan tersebut secara langsung sebahagian daripada mempertahankan negara. 

Tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan merancang mencetuskan huru hara amat penting bagi memastikan tidak mempengaruhi lebih ramai menyertainya. 

Bagi menjamin kekuatan negara, Islam melarang sebarang tindakan menyalahi undang-undang seperti ditetapkan pemerintah. Sesiapa menentang pemerintah bermakna ingkar tuntutan agama.

Tuntutan mempertahankan negara adalah sebahagian jihad yang dituntut agama. Sesiapa tidak mempunyai semangat mempertahankan negara tergolong sebagai nifak (cabang munafik). 

Mereka sebenarnya tidak layak dipanggil rakyat. Apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan yang terpaksa ditanggung oleh negara. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berjihad, maka dia mati atas satu cabang nifak (munafik).” (Hadis riwayat Muslim, Nasai dan Abu Daud).

Negara memerlukan sokongan setiap rakyat untuk berjuang. Sekarang ini negara berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman. Kancah fahaman politik dan pengaruh kebendaan yang menguasai cara hidup menyebabkan banyak individu menjadi ‘musuh’ kepada negara.  

No comments:

Post a Comment