Friday 14 February 2020

DAPAT PAHALA HAJI JIKA MENUTUT ILMU

Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara yang kita lakukan itu benar ataupun tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”

Melihat kepada firman Allah SWT ini, akan diangkat orang yang beriman daripada kalangan orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada kalangan orang yang bukan alim.

Telah berkata Ibn Masud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama di dalam ayat ini, iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 17/299]

Ada hadis yang menyatakan bahawa ganjaran orang yang keluar ke masjid dengan tujuan untuk mencari atau mempelajari sesuatu kebaikan maka Allah SWT akan memberikan ganjaran seperti menunaikan haji dengan sempurna.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (7473)]

Hukum Hadis
Di antara ulama yang menilai status hadis ini ialah:
- Imam al-Munziri (656 H) mengatakan bahawa Imam al-Thabarani meriwayatkan hadith ini dengan sanad yang tidak mengapa (sanad yang baik). [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 59/1]
- Imam al-Dhimyathi (705 H) juga menyatakan sanad hadith ini tidak mengapa. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, 22]
- Imam al-Iraqi (806 H) menilai sanad hadith ini adalah baik. [Lihat: al-Mughni, 1740/1]
- Imam al-Haithami (807 H) mengatakan bahawa perawi-perawi hadith ini adalah dipercayai. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 245/2]
- Syeikh al-Albani (1420 H) menghukum hadith ini sebagai hasan sahih. [Lihat: Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 145/1]

Melihat kepada beberapa penilaian para ulama di atas, kami nyatakan bahawa hadith ini adalah sahih. Tambahan pula, Imam al-Hakim (405 H) turut meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya berbeza di dalam kitabnya dan ia boleh menjadi sokongan kepada hadith di atas.

Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan umrah dengan sempurna dan barangsiapa yang pulang ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Hakim (311)][Imam al-Zahabi menyatakan hadith ini menepati syarat Imam al-Bukhari]

Dengan kata lain, memang terdapat hadis yang sahih menyatakan berkaitan kelebihan atau ganjaran haji bagi orang yang keluar mencari dan menuntut ilmu.

Sifat inilah yang sepatutnya dicontohi oleh setiap insan iaitu cintakan ilmu. Selain itu juga, di antara perkara yang penting dalam menuntut ilmu ini adalah sentiasa membetulkan niat supaya tujuannya bukanlah untuk dikenali atau dikatakan bahawa dia adalah yang paling alim berbanding orang-orang lain.

Namun, ia perlu difahami bahawa ganjaran pahalanya adalah seperti menunaikan haji dan ia sama sekali tidak menggugurkan kefardhuan haji ke atas seseorang itu.


No comments:

Post a Comment