Monday, 15 February 2021

ASAM RONG BIJI GETAH

Biji getah boleh dijadikan sebagai makanan apabila diperam atau dikenali sebagai asam rong. Asam rong termasuk dalam kategori makanan tradisional. Tetapi perlu pelajari bagaimana cara biji getah itu menjadi bahan ramuan dalam masakan sehingga menjadi juadah digemari ramai. 

Hidangan dengan campuran asam rong biji getah ini cukup popular dan menjadi resipi turun temurun penduduk Jerantut, Pahang. 

Asam rong biji getah ini apabila dicampurkan dalam pelbagai jenis masakan mampu menghasilkan rasa dan aroma yang boleh mengecurkan air liur. 

Perkataan asam adalah disebabkan cara menyimpannya iaitu diperam dalam tempoh waktu tertentu, manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah getah yang juga dipanggil rong.

Asam rong ini rasanya sedikit pahit kerana diperam untuk satu tempoh yang agak lama. Berbulan-bulan juga disimpan untuk mendapatkan rasa asam sebenar.

Untuk mendapatkan isi biji getah, ia perlu dipecahkan kulitnya. Cara pecahkan dengan menggunakan batu lesung atau apa-apa yang keras seperti kayu, tungkul dan batu.

Isi biji getah berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama lima hingga tujuh hari sehingga kering untuk menanggalkan selaput kulit daripada rong dan menjadi kecut sepenuhnya.

Setelah kering biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur. Selepas ditumbuk, ia akan diramas bagi mengeluarkan minyak biji getah. Jika tidak dikeluarkan minyak biji getah, asam rong yang dihasilkan kurang sedap dan berbau tengik bila disimpan lama.

Proses seterusnya ialah biji getah yang telah ditumbuk dan diperah itu akan diperam di dalam bekas tertutup seperti tempayan atau balang dan disimpan di tempat kering bagi mengelak berkulat dan rosak. 

Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan dalam tempoh beberapa bulan untuk menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak.

Selepas disimpan lama dan cukup tempoh, barulah asam rong digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan.  

Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. 

Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera si pembuat. Selain itu ia juga dijadikan sambal dan dimakan dengan pelbagai ulaman.

Asam rong yang siap diproses boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram.


No comments:

Post a Comment