Sunday 26 September 2021

SEJARAH KAMPUNG CHENOR, MARAN

Chenor yang terletak di daerah Maran, Pahang adalah sebuah pekan dan mukim yang terdiri daripada beberapa buah kampung kecil. Antara kampung yang utama ialah Kampung Chenor, Kampung Baru, Kampung Bukit Bota, Kampung Tanjung Memalau, Kampung Raja, Kampung Sembai, Kampung Kening, Kampung Batu Bor, Kampung Sekara dan Kampung Huma Luas.

Nama Chenor dikatakan berasal dari nama seorang wanita cantik yang bernama Che Nor. Wanita itu tinggal di satu tempat yang sering dikunjungi orang ramai. Wanita itu sering menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan atau memerlukan bantuan.

Che Nor dikatakan wanita ‘sakti’ yang ada kebolehan tertentu. Bantuan yang diberikan agak ‘istimewa’ dengan menyatakan apa yang diperlukan.

Pun begitu, penduduk tidak berkesempatan untuk berkenalan atau berbual dengan Che Nor. Apa yang sempat diketahu ialah namanya ‘Che Nor’.

Lama kelamaan tempat itu dikenali dengan nama ‘Chenor’ dan kekal sehingga sekarang.

Begitulah serita di sini pada suatu waktu dahulu sehingga kawasan ini terkenal dengan nama sejak zaman ‘tori’ (zaman sangat lama dahulu) bernama “Chenor”.

Satu lagi kisah berkaitan nama Chenor ialah berkaitan dengan seorang janda bernama ‘Che Nor’.

Menurut kisah orang-orang dahulu, penduduk kampung gemar ke kedai ‘Che Nor’.

Mereka sering menggunakan dialog:
“Mahu ke mana tu?”
“Saya nak ke gerai Che Nor”.

Apabila penduduk kampung sering menggelarkan gerai ‘Che Nor’, akhirnya  wujudlah lokasi tersebut dengan gelaran “Chenor”.

Chenor pada zaman dahulu menjadi tempat persinggahan Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Pahang pada waktu itu. Baginda Sultan menaiki perahu dari Kuala Lipis ke Pekan dan dari Pekan ke Kuala Lipis. 

Baginda akan singgah di Chenor setiap kali dalam perjalanan tersebut dan akan disambut oleh penduduk kampung.

Terletak kira-kira 31 kilometer dari bandar Temerloh dan diberi jolokan Chenor Pekan Diraja, ketika itu makmur dan maju dan penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa. Wujudnya Kampung Raja di situ yang kekal hingga ke hari ini, melambangkan bermastautinnya kerabat istana di situ.

Zaman kegemilangan itu ialah ketika pusat pentadbiran Pahang oleh Residen British terletak di Kuala Lipis di sebelah hulu, manakala istana sultan pula di Pekan di sebelah hilir.

Sebagai antara penempatan awal di Pahang, Chenor juga pernah melahirkan pahlawan terkenal menentang penjajah seperti lagenda Pahlawan Bukit Segumpal. Mengikut cerita penduduk Chenor, pada masa dahulu, orang-orang Chenor juga terlibat membantu Tok Gajah dalam Perang Kelang di Selangor.

Pada mulanya, Chenor terletak dalam pentadbiran Daerah Temerloh. Tetapi kemudiannya terdapat lebih kurang 15 buah kampung tradisi di dalamnya dan telah berpindah ke dalam pentadbiran Daerah Maran yang baharu diwujudkan hasil cantuman sebahagian Pekan, Kuantan dan Temerloh.

Suasana kampung yang damai dengan dihiasi latar belakang sungai, menjadikan panorama yang amat cantik. Antara yang menarik perhatian ialah Masjid Kampung Pantai yang diperbuat daripada kayu.



No comments:

Post a Comment