Friday 3 December 2021

BIODATA ENAM TOKOH HADIS

 
Ilmu hadis satu cabang ilmu diwarisi daripada ulama silam. Terdapat tokoh hadis terkenal menyumbang jasa mengembang ilmu hadis.

Antara tokoh hadis terkenal adalah Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah.

Enam tokoh hadis ini ulama hadis terkenal menjadi rujukan ulama hadis seterusnya. Himpunan hadis mereka dikenali Sunan Hadis. Secara ringkas riwayat tokoh hadis adalah: 

Imam Bukhari
Nama sebenar ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Bukhari. Dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan pada tahun 194H/ 810M. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hartank (salah satu kawasan desa di Samarkhand) pada tahun 256H/870M.

Beliau seorang ilmuwan Islam dan penghafaz hadis. Antara kitab karangan beliau ialah Jami’ al-Sahih (Sahih al-Bukhari), At-Tarikh, Ad-Dhu’afa’. Pada tahun 210H, beliau bermusafir jauh untuk mencari hadis. Beliau mengunjungi beberapa buah negara seperti Khurasan, Iraq, Mesir dan Syria.

Beliau mempelajari hadis daripada 1,000 orang guru dan berjaya mengumpulkan sekitar 600,000 hadis. Daripada jumlah tersebut, beliau hanya memilih perawi yang dipercayai (thiqqah) sahaja untuk ditulis dalam kitab Sahihnya. Di dalam kitab tersebut terdapat 7,562 buah hadis.

Imam Muslim
Nama sebenar ialah Abu al-Husayn Muslim bin Hajjaj al-Qushairi an-Nisaburi. Lahir di Naisabur, Iran pada tahun 204H/ 820M. Beliau meninggal dunia di pinggir Kota Naisabur pada tahun 261H/875M.

Imam Muslim bermusafir ke beberapa buah negara seperti Hijaz, Mesir, Syam dan Iraq. Karya beliau yang terkenal ialah Kitab Sahih Muslim. Antara kitab lain adalah al-Musnad al-Kabir (mengenai darjat perawi hadis), al-Jami’ (disusun mengikut bab) al-Kuna wa al-Asma’, al-Afrad wal Wihdan, Tasmiyyah Syuyukh Malik wa Sufyan wa Syu’bah, Kitab al-Mukhadhramin dan Kitab Aulad al-Sahabah. Dalam Kitab Sahih Muslim terdapat 3,033 buah hadis.

Imam Abu Daud
Nama sebenar Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin Al-Asy’ats bin Ishaq bin Basyir al-Azdi as-Sijistani. Lahir di Sijistan, Afghanistan. Beliau meninggal dunia di Basrah pada tahun 275H/889M. Beliau merantau ke beberapa buah negara untuk mencari ilmu seperti Iraq, Hijaz, Mesir dan Syam.

Kitabnya merupakan salah satu daripada enam kitab hadis rujukan. Terdapat di dalamnya 5,232 hadis yang dipilih daripada 500,000 hadis yang dihafaznya. Kitab-kitab lain yang dikarang oleh beliau ialah Kitab al-Zuhd, Tasmiyyah al-Ikhwah dan al-Akhbar Abu Daud.

Imam Tirmizi
Nama sebanar beliau ialah Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa as-Silmi al-Bughi at-Tirmizi. Lahir di Tirmiz (Uzbekistan) pada tahun 209H/824M. Beliau pernah belajar dari Imam Bukhari dan beberapa guru Imam Bukhari.

Beliau merantau ke negara-negara seperti Khurasan, Iraq dan Hijaz untuk menuntut ilmu. Walaupun pada penghujung usia, beliau menjadi buta tetapi beliau tetap dijadikan teladan dalam penghafalan hadis.

Antara karya beliau yang terkenal ialah al-Jami’ al-Kabir (Sahih al-Tirmizi), Kitab al-Syama’il al-Nabawiyyah, al-Tarikh dan al-Ilah. Sahih al-Tirmizi mengandungi 3,956 buah hadis. Beliau akhirnya meninggal dunia di Tirmiz pada tahun 279H/892M.

Imam Nasai
Nama asal beliau ialah Ahmad bin Ali bin Syuaib bin Ali bin Sinan bin Bahr bin Dinar. Beliau dilahirkan di Nasa, Turkemanistan pada tahun 215H/830M. Meninggal dunia di Baitul Maqdis (di Kota Ramallah, Palestin) pada tahun 303H/915M.

Beliau adalah penulis Kitab Sunan al-Nasai. Beliau banyak merantau ke negara lain untuk mencari ilmu sehinggalah beliau meninggal dunia di Palestin. Terdapat pendapat lain yang mengatakan beliau meninggal di Makkah ketika sedang menunaikan ibadah haji.

Antara kitab yang ditulis oleh beliau ialah al-Sunan al-Kubra, al-Mujtaba (Sunan al-Sughra), Al-Dhu‘afa wa al-Matrukun. Khasa’is Ali, Musnad Malik. Di dalam Kitab Sunan Nasai terdapat 5,769 buah hadis.

Imam Ibnu Majah
Nama sebenar Imam Ibnu Majah ialah Muhammad bin Yazid ar-Rabi‘ al-Qazwaini. Lahir di Qazwain, Iran pada tahun 209H/824M. Beliau meninggal dunia di Qazwain pada tahun 273H/ 887M.

Imam Ibn Majah seorang yang alim dalam ilmu hadis. Beliau merupakan penduduk asal Qazwain yang terletak di sebelah Barat Laut Kota Tehran. Beliau merantau ke Basrah, Baghdad, Syam, Mesir dan Hijaz untuk mencari ilmu.

Kitab yang ditulis beliau merupakan salah satu daripada enam kitab hadis rujukan. Selain itu, ialah Tafsir al-Quran dan Tarikh al-Qazwain. Di dalam Sunan Ibnu Majah terdapat 4,341 buah hadis. 

No comments:

Post a Comment