Sunday 28 November 2021

BANGGA DENGAN BAHASA MELAYU

 
Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa ilmu kerana bahan ilmu dalam bahasa Melayu berupaya mengisi keperluan negara, khususnya dalam menghasilkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Ini bukan tugas dan tanggungjawab kerajaan atau DBP sahaja, tetapi semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan. Negara kita perlu maju dengan acuan kita sendiri.

Tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa itu melainkan bahasa bangsa itu sendiri.

Percayalah, kita pasti akan berbangga berdiri di pentas antarabangsa dengan membawa citra bahasa dan budaya kita sendiri.

Bahasa merupakan lambang jati diri dan entiti kebangsaan. Yang penting, bahasa juga melambangkan keyakinan diri dan minda tidak terjajah.

Mahir dalam bahasa lain merupakan kelebihan yang patut dikejar, tetapi meminggirkan bahasa kebangsaan merupakan langkah ke belakang yang akan memberi kesan negatif pada masa akan datang.

Bahasa Melayu, merupakan wadah yang sangat penting untuk mengilmukan bangsa kerana pemikiran dan budaya bangsa dilatari oleh bahasa kita itu.

Mereka lebih faham dan terdedah dengan persekitaran berbahasa kebangsaan. Bahasa asing sebagai alat bantu dan itulah yang diamalkan di negara maju seperti Jepun, Korea dan China.

Tidak ada negara maju yang meminggirkan bahasa sendiri untuk maju kerana mereka sedar langkah itu merupakan langkah yang salah.

Malu dengan apa yang ada pada diri sendiri adalah minda yang terpesong.  Jangan sentiasa dipukau oleh rasa rendah diri dengan sentiasa melihat halaman rumah orang lain sentiasa lebih hijau dan menarik daripada halaman sendiri.

Penguatkuasaan terhadap bahasa kebangsaan perlu diteruskan dan tidak perlu menunggu tibanya bulan bahasa kebangsaan.

Penguatkuasaan terhadap bahasa Melayu ini kenalah berterusaan dan tidak boleh menunggu bulan bahasa kebangsaan, baru kita hendak disebut tentang pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya.

Gambar: Jeti Pulau Seratus. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment