Tuesday 6 June 2023

HINDARI PERDEBATAN STATUS HADIS PALSU

 
Hadis merupakan sumber Islam bersama-sama al-Quran. Ia menjadi sumber hukum terpenting selepas al-Quran. Namun, terdapat hadis yang dikenali hadis palsu atau dengan kata lain ia sebenarnya bukan hadis. Jika itu dikenal pasti, maka hadis palsu tidak boleh dijadikan hujah sebagai sumber hukum.
 
Sebab itu, isu hadis palsu bukan perkara kecil. Ia perlu dirungkaikan oleh mereka yang benar-benar mahir mengenai hadis. Banyak pendapat pakar hadis mengenai tatacara untuk mengenali hadis palsu.
 
Prof. Dr. Abul Lais Khayr Abadi dalam kitabnya Ulum al-Hadis: Asiluha Wa Muasiruha. Ketika menyebutkan tentang petanda hadis palsu, beliau menyebutkan:
 
"Apabila ulama-ulama hadis mencari hadis dengan penuh ketelitian, lalu dia tidak menemuinya di dalam kitab-kitab hadis, kitab-kitab para huffaz, muhaddisin dan para perawi hadis. Maka ini merupakan petunjuk bahawa hadis itu palsu. Ini kerana ketiadaannya di dalam kitab-kitab hadis merupakan bukti bahawa ia tidak ada asalnya. Ini adalah selepas para ulama itu melakukan pembacaan menyeluruh kepada hadis-hadis di dalam kitab-kitab hadis.
 
“Imam Al-Sayuti berkata: Adapun sekarang, maka yang menjadi pegangan adalah kitab-kitab yang bertulis. Sesiapa yang datang membawa hadis yang tidak wujud di dalamnya, maka ia tertolak.” (muka surat 291-292)
 
Para ulama hadis menilai hadis dengan melihat kepada dua perkara:
- Sanad (iaitu rantaian perawi riwayat tersebut)
- Matan (teks hadis tersebut)
 
Terdapat lima syarat untuk mengkategori hadis itu sahih:
- Bersambung sanad
- Kesemua perawinya thiqah
- Kesemua perawinya mempunyai dhabt (ketelitian) dalam memelihara hadis sama ada dengan hafazan atau ketelitian dalam menjaga penulisan hadisnya.
- Tidak syaz (tidak bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat)
- Tiada illah (tiada kecacatan tersembunyi)
 
Hadis hasan pula ialah hadis yang ada semua syarat di atas kecuali pada sudut dhabt perawi adalah kurang.
 
Hadis daif pula lebih banyak pecahannya. Untuk mudah kita bahagikan kepada dua iaitu daif ringan dan berat. Daif ringan ialah sebab terputus sanadnya (ini ada banyak jenis) atau sebab hafazan perawi yang lemah. Daif berat juga banyak jenis, sebab perawi yang terlalu lemah sehingga ditinggalkan hadisnya oleh ulama hadis, perawi pembohong, atau jelas padanya bercanggah dengan Al-Quran dan usul-usul ajaran Islam, bercanggah dengan riwayat perawi lebih kuat (seperti hadis munkar dan syaz) dan sebagainya.
 
Jika dilihat hadis palsu (maudhu) diletakkan di bawah kategori dhaif yang tak boleh pakai langsung. Jadi memutlakkan kebolehan guna hadis daif adalah berbahaya sebab akan memasukkan hadis munkar, syaz, matruk dan lain-lain yang sangat lemah.
 
Seandainya kita melihat dengan mata yang sihat dan rasional, kita akan dapati hadis yang ada dalam kitab hadis lengkap dengan sanad-sanadnya pun masih diteliti oleh ulama hadis untuk diperiksa sahih atau tidak, daif berat atau ringan, atau palsu.
 
Lalu, manusia yang berakal akan faham kenapa para ulama menyatakan hadis yang tak dijumpai sanad, tak ditemui dalam kitab-kitab hadis, dianggap sebagai palsu.
 
Kalau sudah dikategorikan sebagai palsu, tidak perlulah digunakan. Ada mempertahankan kegunaan hadis palsu dengan alasan ia berkaitan kebaikan amalan tertentu dan bukannya melibatkan hukum atau akidah.
 
Setiap ulama ada hujah tertentu. Jangan berburuk sangka. Yang kata tidak boleh, itu keputusan mereka. Begitu juga di pihak mengatakan boleh menggunakan hadis palsu untuk tujuan berkenaan, maka hormatilah pegangan mereka selagi ia tidak tidak melibatkan perkara yang jelas bertentang dengan hukum yang disebut di dalam al-Quran dan hadis sahih.
 
Jangan saling menyalahkan sehingga ia boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam yang terang-terang dilarang dalam Islam.

No comments:

Post a Comment