Wednesday 8 November 2023

SENAMAN MELAYU TUA GABUNGAN SENI WARISAN

 
Senaman Melayu Tua (SMT) atau Senaman Tua (ST) dianggap asing oleh kebanyakan orang di Malaysia. Hakikatnya ia telah berakar umbi atau warisan bangsa Melayu yang diamalkan sejak zaman berzaman. Mungkin namanya asing disebabkan tidak ada satu pengenalan penuh pergerakan SMT yang boleh dianggap sebagai satu “jenama” disebarkan kepada orang ramai.
 
Namun, SMT semakin berkembang apabila usaha memperkenalkan kepada penduduk Malaysia telah digerakkan. Ada seminar dan kursus diadakan untuk menjadikan SMT sebagai aktiviti bermanfaat yang harus dilakukan oleh seluruh ahli masyarakat.
 
Bahkan, kini sudah ada pusat aktiviti Senaman Melayu Tua yang diadakan secara harian ataupun mingguan. Sembutan amat menggalakkan dan semakin banyak yang menyertainya.
 
SMT diasalkan atau diperkenalkan oleh Prof. Azlan Jumat Abdul Ghanie yang berasal dari Pahang. Secara asasnya konsep SMT mengikut adat Melayu ketika mandi iaitu dengan bermula menjirus kaki terlebih dahulu.

SMT juga mempunyai unsur daripada asas orang Melayu iaitu berdiri, duduk, baring dan bergerak dengan diibaratkan seperti seorang pahlawan berpakaian lengkap,

Dalam senaman duduk, ia bermula dengan bersila dan kemudian boleh di pelbagai dengan dengan posisi bersimpuh, bertenteng, bercangkung, berlunjur dan sebagainya.
 
Menerusi pergerakan yang ada, ia secara tidak langsung turut merangkumi kaedah digunakan dalam yoga, tai chi, pilates, aerobik dan anaerobik.

Akan tetapi SMT tidak mengambil atau menceduk pergerakan atau falsafah senaman itu kerana mempunyai identiti serta ciri tersendiri.

SMT turut menjurus kepada kecepatan dan kekuatan sendiri dengan pergerakan yang diolah serta diberi nama tertentu seperti ‘Bunga Teratai’ ‘Gulung Ekor Naga’ dan ‘Gerak Sembilan’.

Senaman Gerak Sembilan adalah untuk kekuatan bahu kerana asas kuncian dan jatuhan silat adalah dengan serkah atau cabut pangkal. Gerak Sembilan juga boleh merawat kecederaan di bahu, tengkuk dan pinggang jika dilakukan dengan betul.

Selain itu, pergerakan dalam senaman berteraskan silat Melayu kerana ia amalan orang Istana untuk bertempur pada zaman dahulu.
 
Bermula pada tahun 90-an, kini lebih 500 ribu orang telah didedahkan dengan SMT. Bahkan ada yang telah mengembangkan ke luar negara. Sudah banyak video atau panduan mengenai SMT diterbitkan dan tersebar di media sosial dan laman sesawang.
 
Tentang sama ada menggunakan nama Senaman Melayu Tua (SMT) atau Senaman Tua (ST), ia boleh digunakan kedua-duanya untuk merujuk kepada perkara yang sama. Ada yang menggunakan nama Senaman Melayu Tua sesuai dengan kandungan pergerakan yang diamalkan.
 
Pun begitu, disebabkan ada yang mengaitkan ia rasis kerana menggunakan perkataan “Melayu” maka ada yang lebih selesa menggunakan nama Senaman Tua. Tidak kisahlah, hendak menggunakan nama Senaman Melayu Tua atau Senaman Tua, yang penting mengamalkan senaman tersebut dan mendapat manfaatnya.
 
Sesiapa yang secara serius ingin mempelajari, mengamalkan dan seterusnya mengajar kembali kepada orang ramai, boleh mendaftar sebagai pelajar (boleh hubungi pihak berkenaan) secara formal.
 
SMT merupakan antara kemahiran yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Di mana, pelatih boleh memiliki Sijil Kemahiran Malaysia dari tahap satu hinggalah Diploma Kemahiran Malaysia mengikut tahap yang diiktiraf.

Kredit pemilik asal gambar

No comments:

Post a Comment