Saturday 4 November 2023

WAN MUSA ABDUL SAMAD (MUFTI KELANTAN 1909-1916)

 
Wan Musa bin Abdul Samad merupakan anak kepada Abdul Samad bin Muhammad  Beliau dilahirkan di Lorong Tok Semain, Kota Bharu pada tahun 1875. Musa telah menuntut ilmu pada usia muda di Kota Mekah, berguru dengan Syeikh Hasbullah, Syeikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh Muhammad dan Ahmad al-Dandraw dan juga para ilmuan lain.
 
Beliau banyak mengkaji kitab dan sering mengikuti perkembangan siasah dunia dengan membaca akhbar dan majalah dalam dan luar negeri seperti al-Imam (1906), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928), al-Manar dan al-Urwat al-Wuthqa. Beliau juga pernah berutus surat dengan Maulana Ubaidullah al-Sindhi (guru anaknya di Mekah) dan Syeikh Muhammad Rashid Ridza (Mesir).

Pada tahun 1909, Sultan Muhammad IV telah bersetuju melantik Musa menjadi Mufti Kerajaan tetapi watikah perlantikan hanya diserahkan selepas tempoh enam bulan iaitu berkemungkinan selepas pengesahan jawatan.
 
Tokoh yang terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani dan tegas tetapi kontroversial ini menjadi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang ke-3 selepas Haji Nik Wan Daud dan Haji Wan Ishak.

Sumbangan awal yang telah diberikan oleh beliau adalah mengeluarkan fatwa tentang masalah lafaz asli, muqarramah takbiratul ihram serta kaifiatnya.
 
Mengikut karangan Tengku Mahmud Zuhdi Tengku Abdul Rahman al-Fatani, fatwa radikal itu telah dikeluarkan pada tahun 1909 dan ia mendapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin tua.
 
Walau bagaimanapun, pendiriannya amat tegas dan pandangan pembaharuannya banyak bertelagah dengan fahaman tokoh tua dan alim ulama yang menguasai Majlis Agama Islam Kelantan sendiri.
 
Antara bangkangan adalah membantah pembinaan Masjid Besar Kota Bharu dengan harta zakat fitrah, persoalan muqarranah sembahyang, kenduri arwah, talqin dan lain-lain lagi.
 
Manakala bantahan dengan Tok Kemuning dan Haji Islam Haji Senik pula adalah mengenai kain telekong sembahyang dan dengan Syeikh Muhammad al-Azhari pula mengenai pemindahan jualan harta wakaf.
 
Bantahan juga diterima daripada Sultan Muhammad IV mengenai harta pusaka. Pada tahun 1930-an pula dengan Mufti Haji Ibrahim serta penyokongnya mengenai talfiq mazhad khusus jilatan anjing.

Walau bagaimanapun, beliau tetap dan masih berpegang teguh kepada pendiriannya dan atas dasar keyakinan itulah beliau meletak jawatan pada akhir bulan Jun tahun 1916 untuk mengelak berlaku tentangan berterusan dengan golongan tua.
 
Beliau telah berulang alik ke Terengganu di mana Menteri Besar Terengganu pada waktu itu iaitu Datuk Ngah Muhammad bin Yusuf telah memberi layanan yang baik kepada beliau.
 
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad IV, beliau telah kembali menetap di Kelantan dan mengajar di surau sendiri di Jalan Merbau, Kota Bharu.
 
Ajaran beliau tidak memberi penekanan kepada bidang usuluddin, fiqah, tasawuf sahaja malah merangkumi falsafah, mantiq, sejarah dan juga lain-lain.
 
Hasil bimbingan yang penuh komited, beliau telah melahirkan tokoh ulama progresif yang berpengaruh seperti Haji Saad Kangkong, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Ahmed Maher, Maulana Abdullah Noh Pasir Puteh, Haji Ayub Kemboja, Haji Abdul Manan Sumatera, Haji Abdul Wahid Melaka, Haji Muhammad Zain Kedah/Meranti dan juga Haji Abdul Rahman Lubuk Jambu.
 
Selain itu, tokoh-tokoh lain juga yang dihasilkan oleh beliau adalah Haji Nik Mat Alim Pulau Melaka, Haji Nik Daud Tanah Merah, Haji Nik Soh Langgar, Haji Wan Abdul Rahman Seribung, Haji Ismail Lundang Paku, serta lima anaknya sendiri iaitu Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mat Nazir, Haji Nik Mahmud, Haji Nik Muhammad Salleh dan Haji Nik Muhammad Mahiyuddin.
 
Antara hasil penulisannya yang telah dicetak ialah ‘Aqdu al-Darri al-Nafis’ yang telah diterjemahkan daripada karangan Saidi Ibrahim al-Rashid mengenai manaqib Syeikh Ahmad Idris yang selesai ditulis pada 4 Januari 1906 dan risalah manaqib Saidi Ibrahim al-Rashid bin Syeikh Salleh, karangan Syeikh Ismail al-Nuwwab yang selesai diterjemahkan pada 1 Ogos 1906.

Beliau meninggal dunia pada 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939 secara mengejut pada jam 3.00 petang, ketika berusia 65 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan.

No comments:

Post a Comment