Tuesday, 8 December 2020

MAKSUD BERKAKI AYAM

Pepatah ‘berkaki ayam’. Ia bermaksud tidak memakai kasut atau selipar. Kenapa nama kaki ayam yang dipilih? Kaki binatang lain pun tidak berkasut juga. Semua jenis binatang tidak berkasut. Kalau adapun kuda yang memakai ladam (besi lapik kaki kuda). 

Kenapa kaki ayam disebut dalam peribahasa itu memang tidak dijelaskan secara tepat. Hanya ada kemungkinan kerana ayam dianggap binatang yang terdapat di sekeliling kita, maksudnya masyarakat dahulu yang tinggal di kampung. 

Ayam kampung memang banyak dipelihara di kampung-kampung. Ayam menjadi sumber daging dan telur kepada masyarakat dahulu. 

Pada masa dahulu, ayam kampung dibiarkan bebas berkeliaran. Ia mencari makan secara sendiri. Sedikit sahaja makanan disediakan oleh pemiliknya hasil sisa makanan.

Ayam kampung akan mencakar atau mengais tanah untuk mencari makanan berupa cacing dan serangga. 

Sebab itu ada pepatah kais pagi makan pagi yang maksud apa yang diusahakan pada waktu itu maka akan diguna pada waktu itu juga. Mudah cakap ia merujuk kepada orang miskin.

Kembali kepada pepatah berkaki ayam, mungkin wujud kerana dilihat ayam pergi ke sana sini sehingga naik ke atas rumah mencari makanan selayaknya seperti manusia. 

Sama ada berada di atas tanah mahupun di atas rumah, kaki ayam tetap tidak berkasut atau memakai alas.

No comments:

Post a Comment