Friday 18 June 2021

KHASIAT BUAH KUNDUR

Kundur (Benincasa hispida) adalah sejenis tumbuhan menjalar dari keluarga Cucurbitaceae yang dipercayai berasal dari Asia Tenggara tetapi kini telah ditanam di seluruh dunia.

Tumbuhan ini sama dengan timun, tembikai dan keluarga cucurbit yang lain. Ia termasuk dalam keluarga sayuran. Kundur mengeluarkan buah paling besar di antara keluarga cucurbit.

Tanaman kundur di Malaysia bukan menjadi tanaman yang popular kerana ia kurang permintaan di pasaran domestik.

Tanaman kundur menghasilkan buah yang digunakan sebagai sayuran dengan memotong dadu atau 'slice' yang dimasak sebagai sup air.

Kaum Cina paling suka dengan kundur di mana buah kundur dimasak atau dikukus bersama daging, udang, cendawan, biji lotus dan rebung.

Terdapat juga buah kundur yang dijadikan 'candy' manis dengan memasaknya bersama gula dipanggil sebagai 'tangkwe'.

Produk ini mudah didapati di pasaran domestik dan ia juga amat sering dimasukkan sebagai salah satu ramuan dalam minuman air batu campur.

Halwa buah kundur yang dimaniskan ini amat mudah diproses sebagai menambah pendapatan daripada industri asas tani.

Pucuk dan daun muda kundur juga dimakan sebagai sayuran segar. Biji kundur dikeringkan dan diproses untuk dijadikan makanan ringan yang dipanggil sebagai 'kuaci'.

Daripada sudut perubatan didapati buah kundur dapat menyejukan suhu badan dan baik untuk sistem penghadaman serta mereka yang menghidapi masalah kencing manis..

Buah kundur berbentuk bulat lonjong berwarna hijau atau keputihan yang berbulu ketika muda dan licin apabila hampir matang. Buah Kundur mampu membesar dengan berat sehingga 10-15 kg sebiji.

Buah kundur ada lapisan seperti lilin pada kulit dan mempunyai isi berwarna putih yang kenyal dan rasa yang tawar tidak seperti tembikai yang manis dan sedap dimakan segar. 

Kundur ditanam menggunakan biji benih. Bubuh 2 biji benih satu lubang yang mana baja organik sesuai digunakan untuk penyediaan tanah.

Buah kundur akan dituai mengikut peringkat kematangan dan tujuan pemasaran. Bagi petani yang menanam kundur keliling rumah dan hendak petik muda untuk dibuat sayur boleh petik kundur seminggu selepas proses anthesis.

Buah yang matang akan dituai 100-160 hari selepas menanam di ladang. Buah yang matang dikenali dengan warna hijau dan keputihan berdebu seperti berlilin. 

Buah muda yang dipetik tidak tahan lama. Sebaliknya, buah matang tahan hingga beberapa minggu kerana lapisan lilin membantu menghalang serangan organisma perosak. 

No comments:

Post a Comment