Wednesday, 21 June 2023

MENTERNAK IKAN AIR TAWAR

 
Salah satu sumber lauk pauk makanan kita ialah ikan dan hidupan air tawar. Ikan air tawar ini hidup secara semula jadi di sungai, tasik, tali air, parit dan sebagainya. Sebahagian ikan air tawar ini sekarang dibiakkan dan diternak secara komersial kerana permintaannya yang tinggi. Sebahagiannya pula sudah amat sukar dijumpai dan kemungkinan akan pupus.
 
Industri penternakan ikan air tawar merupakan industri perikanan ternakan yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika diusahakan secara bersungguh-sungguh dan konsisten.
 
Contoh-contoh jenis ikan air tawar yang mempunyai pasaran tinggi adalah seperti tilapia, keli, jelawat, patin dan ikan baung.
 
Untuk memberi latihan kepada mereka ingin menceburi penternakan ikan air tawar, Jabatan Perikanan dan agensi lain menganjurkan kursus dan latihan kepada masyarakat bagi menggalakkan penglibatan masyarakat, terutamanya golongan belia (Agropreneur muda) dalam industri akuakultur.
 
Inisiatif ini adalah langkah untuk memajukan penternakan industri ikan air tawar negara. Kursus memberi panduan kepada peserta yang ingin menternak ikan air tawar mengenai keperluan umum, penyediaan kolam, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga penuaian serta pemasaran.
 
Turut dikongsikan juga ialah ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ikan, penyediaan makanan ikan, teknik pasca tuai serta tips untuk tambah nilai hasilan tuaian dan penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak.
 
Ikan air tawar boleh diternak secara dalam kolam tanah, kolam simen, kolam kanves, sangkar di sungai dan beberapa kaedah lain yang sesuai dengan jenis ikan yang diternak dan jumlahnya.

No comments:

Post a Comment