Hadis merupakan sumber Islam bersama-sama al-Quran.
Ia menjadi sumber hukum terpenting selepas al-Quran. Namun, terdapat hadis yang
dikenali hadis palsu atau dengan kata lain ia sebenarnya bukan hadis. Jika itu
dikenal pasti, maka hadis palsu tidak boleh dijadikan hujah sebagai sumber
hukum.
Sebab itu, isu hadis palsu bukan perkara
kecil. Ia perlu dirungkaikan oleh mereka yang benar-benar mahir mengenai hadis.
Banyak pendapat pakar hadis mengenai tatacara untuk mengenali hadis palsu.
Prof. Dr. Abul Lais Khayr Abadi dalam
kitabnya Ulum al-Hadis: Asiluha Wa Muasiruha. Ketika menyebutkan tentang
petanda hadis palsu, beliau menyebutkan:
"Apabila ulama-ulama hadis mencari
hadis dengan penuh ketelitian, lalu dia tidak menemuinya di dalam kitab-kitab
hadis, kitab-kitab para huffaz, muhaddisin dan para perawi hadis. Maka ini
merupakan petunjuk bahawa hadis itu palsu. Ini kerana ketiadaannya di dalam
kitab-kitab hadis merupakan bukti bahawa ia tidak ada asalnya. Ini adalah
selepas para ulama itu melakukan pembacaan menyeluruh kepada hadis-hadis di dalam
kitab-kitab hadis.
“Imam Al-Sayuti berkata: Adapun sekarang,
maka yang menjadi pegangan adalah kitab-kitab yang bertulis. Sesiapa yang
datang membawa hadis yang tidak wujud di dalamnya, maka ia tertolak.” (muka
surat 291-292)
Para ulama hadis menilai hadis dengan
melihat kepada dua perkara:
- Sanad (iaitu rantaian perawi riwayat tersebut)
- Matan (teks hadis tersebut)
Terdapat lima syarat untuk mengkategori hadis
itu sahih:
- Bersambung sanad
- Kesemua perawinya thiqah
- Kesemua perawinya mempunyai dhabt (ketelitian) dalam memelihara hadis sama ada dengan hafazan atau ketelitian dalam menjaga penulisan hadisnya.
- Tidak syaz (tidak bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat)
- Tiada illah (tiada kecacatan tersembunyi)
Hadis hasan pula ialah hadis yang ada semua
syarat di atas kecuali pada sudut dhabt perawi adalah kurang.
Hadis daif pula lebih banyak pecahannya.
Untuk mudah kita bahagikan kepada dua iaitu daif ringan dan berat. Daif ringan
ialah sebab terputus sanadnya (ini ada banyak jenis) atau sebab hafazan perawi
yang lemah. Daif berat juga banyak jenis, sebab perawi yang terlalu lemah
sehingga ditinggalkan hadisnya oleh ulama hadis, perawi pembohong, atau jelas
padanya bercanggah dengan Al-Quran dan usul-usul ajaran Islam, bercanggah
dengan riwayat perawi lebih kuat (seperti hadis munkar dan syaz) dan
sebagainya.
Jika dilihat hadis palsu (maudhu)
diletakkan di bawah kategori dhaif yang tak boleh pakai langsung. Jadi
memutlakkan kebolehan guna hadis daif adalah berbahaya sebab akan memasukkan
hadis munkar, syaz, matruk dan lain-lain yang sangat lemah.
Seandainya kita melihat dengan mata yang
sihat dan rasional, kita akan dapati hadis yang ada dalam kitab hadis lengkap
dengan sanad-sanadnya pun masih diteliti oleh ulama hadis untuk diperiksa sahih
atau tidak, daif berat atau ringan, atau palsu.
Lalu, manusia yang berakal akan faham
kenapa para ulama menyatakan hadis yang tak dijumpai sanad, tak ditemui dalam
kitab-kitab hadis, dianggap sebagai palsu.
Kalau sudah dikategorikan sebagai palsu, tidak
perlulah digunakan. Ada mempertahankan kegunaan hadis palsu dengan alasan ia
berkaitan kebaikan amalan tertentu dan bukannya melibatkan hukum atau akidah.
Setiap ulama ada hujah tertentu. Jangan
berburuk sangka. Yang kata tidak boleh, itu keputusan mereka. Begitu juga di
pihak mengatakan boleh menggunakan hadis palsu untuk tujuan berkenaan, maka hormatilah
pegangan mereka selagi ia tidak tidak melibatkan perkara yang jelas bertentang
dengan hukum yang disebut di dalam al-Quran dan hadis sahih.
Jangan saling menyalahkan sehingga ia boleh
membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam yang terang-terang dilarang dalam
Islam.
- Sanad (iaitu rantaian perawi riwayat tersebut)
- Matan (teks hadis tersebut)
- Bersambung sanad
- Kesemua perawinya thiqah
- Kesemua perawinya mempunyai dhabt (ketelitian) dalam memelihara hadis sama ada dengan hafazan atau ketelitian dalam menjaga penulisan hadisnya.
- Tidak syaz (tidak bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat)
- Tiada illah (tiada kecacatan tersembunyi)
No comments:
Post a Comment