Thursday 5 July 2018

CATATAN 300 PETAH PERKATAAN MUHASABAH DIRI

Fikir yang baik-baik. Cakap yang molek jah. Bincang dengan cara baik-baik. Dengar hok menyenangkan hati. Insya Allah yang baik-baik dan disukai sahaja yang datang. Kalau ada perkara tidak baik datang, anggaplah satu ujian yang menilai siapkah kita sebenarnya. Orang akan menunjukkan sikap sebenar apabila diuji dengan perkara tidak disenangi. Sebab itu kena banyak bersabar. Jangan mudah marah dan mempersoalkan tindakan orang lain atau keadaan. Paling penting, jangan jadi batu api. Sana sini mengadu domba orang lain agar bergaduh. Bergaduh sesama sendiri tidak memberi kebaikan. Kita sepatutnya menambah kawan, bukan mencipta lawan. Pergaduhan akan membawa kesan menang jadi arang, kalah jadi abu. Dua-dua pihak mendapat kerugian. Sepatutnya kita kena fikir bagaimana untuk kedua-dua pihak mendapat untung. Tidak kisahlah siapa mendapat untung lebih dan pihak mana mendapat untung kurang. Yang penting sama-sama mendapat untung. Kita hidup kena membuat jasa, buka melakukan onar menyusahkan orang lain dan diri sendiri. Sentiasalah berfikiran positif dan memperkasakan jatidiri. Selalu melakukan muhasabah diri kerana kita bukan manusia sempurna. Kita sering terdedah kepada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada disedari mahupun tidak. Ada yang kecil, tidak kurang juga yang besar. Ingatlah, semua kita sama di sisi Allah, kecuali takwa. Orang kaya mati, orang miskin pun mati. Kita akan mengadap Allah di akhirat dengan membawa bekalan apa yang dilakukan di dunia ini. Banyak bekalan baik dibawa, syurgalah balasannya. Sebab itu, banyaklah berbuat perkara baik. Jangan sekali-kali buat perkara buruk yang menambah dosa. Jika sedar telah melakukan perkara dosa, cepat-cepatlah bertaubat. Kalau tidak sedar telah buat dosa, tidak salah pun jika kita bertaubat. Nabi Muhammad yang tidak melakukan dosa pun selalu bertaubat. Maka, kita yang penuh dengan dosa ni perlulah sentiasa bertaubat. Jangan jadi orang sombong konon dirinya mulia dan bebas dosa. Sikap sombong akan menjadikan diri macam iblis yang berasa diri mulia dan lebih layak berbanding makhluk lain. Berhati-hati.

No comments:

Post a Comment