Tuesday 19 January 2021

DITEGAH BERBUAT ZALIM SESAMA MUSLIM


Setiap muslim diharamkan untuk melakukan perbuatan zalim terhadap muslim lain dalam bentuk apa sekalipun. Bahkan, jika ada yang kena zalim, maka wajib membantunya mengikut apa terdaya.

Perbuatan zalim bukan sahaja berkaitan kekerasan terhadap fizikal seseorang. Termasuk perbuatan zalim adalah mencerca dan menghina.

Dunia siber mendedahkan perbuatan zalim tanpa batasan. Berlaku provokasi, tuduhan tidak berasas dan kenyataan yang keterlaluan hingga boleh mencetusakan perbalahan sesama muslim.

Perbuatan itu bertentangan dengan maksud hadis: “Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang muslim tidak bertegur sapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (Hadis riwayat Muslim)

Cuba fahami hadis ini. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang menghunuskan senjata ke arah saudaranya, maka malaikat akan terus mengutuknya sampai ia melepaskannya meskipun dia itu adalah saudara kandungnya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya orang mukmin bersaudara, jikalau mereka berselisih damaikanlah, barang siapa melepaskan kesulitan orang Islam niscaya Allah SWT akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat kelak. 

Dan kita sebagai orang mukmin janganlah saling menganiaya, menghina dan memojokkan. Dan juga janganlah kita berprasangka buruk terhadap sesama umat Islam.

Setelah kita mengetahui betapa agung dan mahalnya nilai sebuah persaudaraan, maka kita harus berusaha semaksima mungkin agar anugerah dari Allah SWT tersebut tetap terjaga dan terpelihara pada diri kita. 

Di antara usaha yang harus ditempuh agar persaudaraan sesama umat Islam tetap terjaga pada diri kita, maka kita perlu memperhatikan hak-hak dalam ukhuwwah.

Hendaklah dia mencintai saudaranya semata-mata kerana Allah SWT dan bukan kerana tujuan-tujuan duniawi. Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah SWT, maka kecintaan tersebut akan tetap terjaga. Jika dia melakukannya kerana tujuan duniawi, maka lambat laun kecintaan tersebut akan pupus di tengah jalan.

Kehormatan seorang muslim terhadap muslim yang lainnya adalah haram secara umum. Untuk itu, jangan menyebutkan aib saudaranya, baik ketika dia hadir di hadapannya maupun ketika tidak ada. Tidak mencampuri urusan peribadinya. Menjaga rahsianya. Menjauhi prasangka buruk terhadap saudaranya. 

Allah SWT telah melarang perbuatan tersebut dalam firman-Nya bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa.” (Surah Al-Hujurat, ayat 2)

 

No comments:

Post a Comment