Thursday 15 July 2021

KISAH SEJARAH LAGENDA PUTERI SAADONG

Kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511 memberi kesan besar kepada kedudukan Raja Melayu di Nusantara.

Pun begitu, Kerajaan Pattani Besar telah bangkit menggantikan empayar Melaka bagi menaungi kerajaan Melayu yang masih berselerak di Tanah Melayu.

Antara kawasan yang dinaungi Kerajaan Pattani Besar ialah kawasan Kelantan. Ketika itu terdapat beberapa negara kota yang diperintah oleh Raja yang tersendiri di Kelantan.

Antaranya Kota Jembal (Datu Kelantan - bagi pihak Pattani), Negeri Chermin (Kesultanan Kelantan) dan Cherang Tegayong (pimpinan Paduka Chik [Cik Siti] Wan Kembang)

Raja Loyor merupakan putera kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar. Baginda dilantik sebagai wakil Kesultanan Pattani di Kelantan oleh Sultan Pattani iaitu Sultan Muhammad Syah sebagai Datu Kelantan.

Baginda tidak mempunyai putera, hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu Puteri Dalula dan Puteri Mariam.

Puteri Dalula telah berkahwin dengan Pemangku Raja Campa, manakala Puteri Mariam yang lebih terkenal dengan nama Puteri Saadong telah diambil sebagai anak angkat semenjak dari kecil oleh Paduka Chik Wan Kembang memandangkan baginda tidak mempunyai zuriat.

Dari satu sudut peristiwa penyerahan Puteri Saadong oleh Raja Loyor kepada Paduka Chik Wan Kembang sebagai anak angkat boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menjalinkan hubungan yang kekal antara dua negara kota di Kelantan.

Tindakan itu seterusnya mengimbangkan keadaan pemerintahan di Kelantan yang ketika itu dilihat agak malap dan lemah kerana pada masa itu tiada kerajaan yang kukuh untuk mempertahankan negeri yang sering diancam oleh Siam.

Puteri Saadong akhirnya membesar dengan selayaknya sebagai seorang Puteri. Baginda telah dikurniakan kejelitaan yang dikatakan tiada tolok bandingnya.

Kecantikan baginda telah menjadi buah mulut ramai hingga sampai kepada pengetahuan Raja Siam iaitu Ekathotsarot yang lebih dikenali sebagai Sanpet III dalam Sejarah Negara Thai.

Raja Siam itu telah menghantar rombongan diraja untuk meminang Puteri Saadong, tetapi pinangan tersebut telah ditolak oleh Paduka Chik Wan Kembang.

Menyedari sesuatu yang buruk akan berlaku ekoran penolakan pinangan Raja Siam, baginda telah mengambil keputusan untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah.

Mereka berdua sebenarnya adalah sepupu dimana Raja Abdullah merupakan putera kepada Raja Ekok yang juga saudara kepada Raja Loyor.

Setelah perkahwinan tersebut, Paduka Chik Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah sebagai Raja Kota Mahligai.

Raja Siam masih tetap mahu memiliki Puteri Saadong walaupun baginda telah berkahwin dengan Raja Abdullah.

Satu rombongan sami dan tentera Siam telah mengadap Raja Abdullah di Kota Mahligai untuk meminang Puteri Saadong.

Tindakan kurang ajar Siam itu telah dibantah keras oleh Raja Abdullah. Akibatnya Kota Mahligai telah diserang oleh tentera Siam.

Raja Abdullah, Puteri Saadong dan Paduka Chik Wan Kembang telah menyelamatkan diri dan dikatakan berlindung sekitar Kampung Chetok, Pasir Mas.

Tentera Siam telah berundur dan setelah keadaan reda, Raja Abdullah dan Puteri Saadong kembali ke Kota Mahligai, satu keadaan yang tidak dapat digambarkan.

Kemusnahan yang telah berlaku sesudah serangan Siam itu hingga menyebabkan Puteri Saadong tertekan dengan keadaan tersebut.

Tidak lama kemudian, mereka mendapat tahu tentera Siam akan melakukan serangan kedua dengan jumlah tentera yang lebih ramai.

Waktu inilah Paduka Che Wan Kembang telah mengambil keputusan untuk pulang semula ke Gunung Chintawangsa meninggalkan Raja Abdullah dan Puteri Saadong untuk menyelesaikan urusan di Kota Mahligai.

Khabar tentang serangan yang akan dibuat oleh tentera Siam buat kali kedua ke atas Kota Mahligai membuatkan rakyatnya bertambah cemas, sedangkan mereka masih trauma dengan serangan sebelum ini.

Memandangkan nasib rakyatnya, Puteri Saadong telah bertitah agar dirinya diserahkan kepada Siam dengan syarat negeri dan rakyatnya dilindungi dari sebarang ancaman. Raja Abdullah yang buntu dikatakan tanpa berfikir panjang telah bersetuju.

Setibanya Puteri Saadong di istana Siam, sambutan gilang gemilang telah diadakan. Bagaimanapun, Raja Siam telah jatuh sakit dengan dijangkiti penyakit kulit.

Setelah beberapa hari ketibaan Puteri Saadong, baharulah Raja Siam berangkat mengunjungi kediaman Puteri Saadong dengan diusung oleh para pengiringnya.

Namun malang menimpa Raja Siam, penyakitnya bertambah-tambah apabila bertemu dengan Puteri Saadong hingga hilang kewarasan menahan penyakit kulitnya itu.

Dari pertemuan itu, ramai bomoh dan tabib telah mengadap untuk merawat penyakit yang sedang ditanggung oleh Raja Siam.

Tetapi mereka tidak berjaya mengurangkan sakit Raja Siam itu dan ia makin bertambah apabila ia mendekati Puteri Saadong hingga menjejaskan pentadbiran kerajaan.

Akhirnya, para sami Buddha berpendapat bahawa penyakit yang ditanggung oleh Raja mereka itu berpunca dengan kehadiran Puteri Saadong di istana itu.

Raja Siam sekali lagi bertemu dengan Puteri Saadong dan pada pertemuan itu mereka telah berjanji andai Puteri Saadong dapat menyembuhkan penyakit itu, Raja Siam akan membebaskannya dan negerinya daripada naungan Siam.

Di Kota Mahligai, Raja Abdullah yang sedang berduka lara ekoran pemergian permaisurinya telah hilang akal dan menganggap isterinya itu telah berlaku curang.

Tidak lama selepas itu beliau telah melanggar janji yang dilafaz bersama permaisurinya sebelum berangkat ke Istana Siam dengan melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain.

Kuasa Tuhan yang Esa, dengan takdirNya setelah beberapa lama Puteri Saadong merawat Raja Siam, maka telah sembuh penyakit yang ditanggung.

Sebagai ganjarannya, Raja Siam telah menghantar pulang Puteri Saadong ke Kota Mahligai dengan menaiki kapal laut Siam yang paling hebat.

Setibanya di Kota Mahligai, baginda mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin dengan wanita lain dan memungkiri janji mereka sebelum ini.

Remuk hati baginda, kerana telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada janji mereka dan mengorbankan segala-galanya demi mempertahankan negeri, rakyat dan juga maruah suaminya.

Alasan berlaku curang dijadikan punca kenapa suaminya itu berkahwin lain dan ia tidak boleh diterima oleh Puteri Saadong.

Berlakulah peristiwa pertengkaran antara mereka. Puteri Saadong mula hilang pertimbangan dan telah menikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya.

Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu.

Puteri Saadong disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik. Mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya.

Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat seterusnya mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong memencilkan diri di Bukit Marak bersama dayang-dayangnya dan dijaga oleh hulubalangnya, Awang Selamat.

Puteri Saadong telah menyerahkan kuasa pentadbiran Kota Mahligai kepada Raja Rahim (adik iparnya) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan untuk turun takhta.

Namun, sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman berlaku menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit Marak supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di Kota Mahligai.

Kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul Rahim terbunuh di tepi Tasik Lelayang.

Pendapat lain pula mengatakan bahawa Sultan Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan sepupunya, Raja Kechil Sulong.

Dengan kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat di Kota Mahligai dan selepas itu wujud kembali kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675.

Sultan Umar merupakan adik kepada Raja Loyor (Sultan Adiludin).

Sepanjang pemerintahan Sultan Umar, tiada sebarang permusuhan mahupun pergaduhan tercetus di antara negara jiran, malah rakyat hidup dalam keadaan aman damai.

Bapa saudara Puteri Saadong itu juga melakukan pelbagai bentuk pembangunan termasuk membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal.

Baginda juga melakukan lawatan kerja ke seluruh kawasan dan jajahan takluk dan membina hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Pattani, China dan Jawa.

Berita mengenai Puteri Saadong tidak diketahui lagi selepas kali terakhir baginda didakwa berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam yang terletak berhampiran Sungai Nenggiri, Ulu Kelantan.

Gambar: Kakit Bukit Marak yang dikaitkan dengan lagenda Puteri Saadong. 

No comments:

Post a Comment