Monday 23 October 2023

SEMAI NILAI MURNI DI DALAM DIRI

 
Nilai murni bersifat universal yang menjurus kepada adab terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung merangkumi aspek agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia.
 
Umumnya, nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai petunjuk dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih fokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi.
 
Nilai murni pada pandangan Islam bersifat alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai itu akan mendapat ganjaran kebaikan. Bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya dengan nilai-nilai berkenaan, maka pelakunya akan mendapat dosa.
 
Justeru, melihat kepentingan itu, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif.
 
Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan roh tidak disantapkan dengan nilai luhur, ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan berkualiti.
 
Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat, dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.
 
Kehidupan manusia di atas muka bumi ini bukanlah hanya bertujuan untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat, bermasyarakat dan sebagainya.
 
Keperluan yang dinyatakan itu cuma bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia daripada perspektif konsep pandangan hidup Muslim lebih tinggi dan murni daripada keperluan berkenaan.
 
Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya.
 
Manusia yang bertakwa kepada Allah SWT sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia.

No comments:

Post a Comment