Sunday 29 October 2023

PIDATO MELATIH INDIVIDU ADA KEYAKIAN DIRI

 
Pidato adalah ucapan yang disampaikan kepada khalayak ramai. Keupayaan individu menyampaikan pidato dianggap satu kemampuan atau kemahiran istimewa. Ia bukan sahaja berani untuk berdepan dengan khalayak ramai, tetapi juga bijak mengatur setiap patah perkataan yang bersesuaian dengan tajuk yang dipidatokan.
 
Mempidatokan sesuatu tajuk bermakna mengutarakan pendapat, kenyataan, fakta atau perkara yang berkaitannya. Dengan kata lain, ia bukan dalam bentuk cakap kosong atau sekadar untuk menghiburkan.
 
Pemidato perlu mencari isi pidato dengan rujukan yang tepat dan boleh dipercayai atau diyakini oleh pendengar. Setiap apa yang disampaikan bukan sahaja menarik, tetapi lebih penting menyakinkan pendengar bahawa apa yang dipidatokan itu adalah fakta.
 
Sebab itu, pemidato dianggap insan hebat. Ada kayakinan dan bijak. Pandai berinteraksi dengan penonton agar terus berminat untuk mendengar pidatonya sehingga habis. Bahkan, pendengar akan terus mendengar dari pemidato hebat biarpun mengambil masa yang panjang.
 
Justeru, latihan berpidato dan pertandingan pidato sewajarnya diketengahkan di kalgan pelajar. Ia sesuai dijadikan salah satu pendekatan bagi membentuk sahsiah murid sama ada di sekolah rendah atau menengah berkaitan dengan keterampilan diri. Bahkan, latihan atau pendedahan seawal di peringkat pendidikan prasekolah wajar dilakukan.
 
Latihan pidato mampu meningkat dan memperkukuh sahsiah dan keterampilan murid. Di sekolah, selain mengajar mata pelajaran akademik, kemerjadian murid dalam pelbagai aspek amat dititik berat.
 
Pidato dapat dijadikan medan membina keterampilan murid sebagai seorang yang berani berhujah dengan lancar, sesuai dengan nada, menyakinkan, menunjukkan gaya yang menarik, boleh mempengaruhi dan dapat memukau audien serta pengolahan isi yang tertib dan ber kesinambungan.
 
Pidato dapat melahirkan murid-murid yang bakal menjadi pemimpin yang berani dan berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara spontan.
 
Selain itu, murid dapat menggunakan daya fikir dalam berhujah dengan cepat, tepat dan kritis serta kreatif selain bertujuan memberi peluang kepada murid menyerlah bakat dan kepetahan bertutur dalam dengan fasih, yakin, kreatif, kritis dan berhemah.
 
 

No comments:

Post a Comment