Monday 21 October 2024

PENTADBIR SMK PANGGUNG JAYA SANTUNI PELAJAR

 
Masalah keciciran di kalangan pelajar Orang Asli memang tinggi. Namun, jika diusahakan sesuatu yang bersungguh-sungguh dan berterusan, keadaan ini dapat diubah kepada yang lebih baik. Untuk mengubah dalam tempoh singkat memang sukar, tetapi jika dilakukan berterusan, tentu ada sinar kejayaan.

Inilah dilakukan pentadbir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, Gua Musang untuk “memujuk” pelajar agar lebih cakna kepada pelajaran.

Diketuai oleh pengetuanya sendiri, Mohd Khairul Bahri bin Ismail, bersama Penolong Kanan (PK) Kokurikulum dan kaunselor turun ke rumah pelajar Orang Asli yang tidak hadir menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Khairul dalam catatan di akaun FBnya menulis: Hari ini ziarah cakna bersama PK KO dan kaunselor santuni dan tanya khabar calon-calon SPM, yang tak hadir percubaan. Alhamdulillah, bicara hati ke hati hari ini mampu membuka hati.

Usaha tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pelajar menduduki peperiksaan, tetapi juga sudah menjadi aktiviti berkala Khairul dan pentadbir sekolah akan menyantuni dengan cara pergi ke rumah pelajar dan bertemu ibu bapa yang antara lain bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar di kalangan pelajar Orang Asli.

Untuk bertemu dengan pelajar dan keluarga di penempatan Orang Asli, mereka terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda menempuh hutan belantara melalui jalan balak yang mengambil masa berjam-jam untuk sampai.

Namun, itu tidak menjadi halangan untuk Khairul dan guru-guru yang lain melakukan perkara yang diharapkan dapat membantu pelajar dan ibu bapa memahami betapa pentingnya pelajaran untuk mengubah kehidupan kepada lebih baik pada masa akan datang.

SMK Panggung Jaya adalah sekolah dikhaskan kepada pelajar Orang Asli yang dikenali sebagai “Sekolah Orang Asli Kelantan”. Bagaimanapun, selain pelajar Orang Asli, pelajar daripada kaum lain yang tinggal berhampiran dengan sekolah tersebut yang terletak di Panggung Lalat, Kuala Betis juga turut belajar di situ.


No comments:

Post a Comment