Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) merujuk
kepada beberapa laporan media yang memberi gambaran bahawa Mahkamah Persekutuan
hari ini telah membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan
Pluralisme Agama 2014. Laporan sedemikian adalah tidak tepat, mengelirukan, dan
tidak menggambarkan keputusan dan alasan penuh Mahkamah.
Bagi mengelakkan kekeliruan, berikut adalah intipati
penghakiman Mahkamah Persekutuan dan alasan-alasan utama di sebalik keputusan
tersebut.
-Intipati Penghakiman Mahkamah
Mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa. Sebaliknya, ia
membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan
mengetepikan sebahagian yang lain:
BAHAGIAN FATWA YANG DISAHKAN (KEKAL SAH):
• Perenggan 1 fatwa, setakat mana ia menyatakan “mana-mana
individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah
sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.
• Perenggan 4 fatwa, yang menyatakan “mana-mana individu
yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah
bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.
BAHAGIAN FATWA YANG DIKETEPIKAN (TIDAK SAH):
• Pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum (Malaysia)
sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
• Perenggan 2 fatwa, yang menyentuh pengharaman dan rampasan
bahan terbitan.
• Perenggan 3 fatwa, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial.
-Alasan-Alasan Utama Mahkamah
Mahkamah memberikan alasan-alasan berikut bagi keputusannya:
Tafsiran “Orang yang Menganut Agama Islam”:
• Alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum
sebagai sebuah syarikat adalah kerana Mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan
“persons professing the religion of Islam” sebagai merujuk hanya kepada manusia
sebenar (natural persons), bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan
(artificial persons).
• Mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat, sebagai
entiti buatan, tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti
melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa, atau menunaikan haji. Dalam konteks
yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut
oleh Perenggan 4 fatwa.
Melangkaui Bidang Kuasa Negeri:
• Mahkamah mendapati Perenggan 2 dan 3 fatwa adalah tidak
sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa
untuk menggubalnya.
• Perkara berkaitan pengharaman penerbitan (Perenggan 2)
adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984.
• Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (Perenggan 3)
adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 dan melibatkan agensi Persekutuan (SKMM).
Kebertanggungjawaban Individu Tetap Wujud:
• Mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai
kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan
itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah Perenggan 1 dan 4.
• Oleh itu, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh
terlepas tanpa bertanggungjawab, kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu
individu-individu di dalamnya.
-Kesimpulan
Secara ringkas, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini
mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu Muslim
adalah sah dan berkuat kuasa.
Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui
bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia.
PPMM menyeru pihak media agar melaporkan keputusan mahkamah
secara tepat dan holistik untuk memberi pemahaman yang benar kepada masyarakat.
Sekian.
Yang benar,
PRESIDEN
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
19 Jun 2025
Baca juga:
No comments:
Post a Comment