Wednesday, 18 June 2025

SIS MENANG RAYUAN

 
Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh dikenakan terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
 
Ini kerana fatwa itu hanya terpakai orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.
 
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan dikemukakan SIS dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
 
Tengku Maimun berkata, istilah 'orang yang menganut agama Islam' dalam Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk kepada orang semula jadi, dan bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.
 
"Walaupun perkara dipertikaikan berkaitan fatwa, isu sebenar yang kami nilai adalah berkenaan tafsiran perkataan 'orang yang menganut agama Islam' dalam Perkara 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
 
"Kami mendapati istilah itu hanya merujuk kepada orang perseorangan, dan bukan entiti buatan seperti syarikat.
 
"Tafsiran ini selari dengan hakikat bahawa hanya orang perseorangan boleh mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji, semua ini adalah rukun utama dalam Islam.
 
"Syarikat sebagai entiti buatan tidak mempunyai kapasiti untuk bertaubat seperti disarankan dalam fatwa itu," katanya.

Mahkamah turut menyatakan perenggan satu dan empat dalam fatwa berkenaan (yang ditujukan kepada individu) adalah sah dan berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

Bagaimanapun, Tengku Maimun menjelaskan perenggan dua dan tiga dalam fatwa itu yang membabitkan agensi Persekutuan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), adalah tidak berperlembagaan.

Beliau menegaskan mahkamah tidak membuat sebarang penilaian terhadap kandungan teologi fatwa itu, sebaliknya hanya menumpukan kepada batas bidang kuasa undang-undang.

"Fokus kami hanyalah kepada batasan perundangan bidang kuasa, bukan kepada kesahihan pandangan agama," katanya.

Mahkamah turut memutuskan tidak perlu 'menembusi tirai korporat' untuk mengenakan fatwa terhadap SIS, kerana pertanggungjawaban tetap terletak pada individu yang menjalankan entiti berkenaan.

"Tidak perlu 'menembusi tirai korporat' kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi sentiasa dijalankan oleh individu.

"Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas tindakan syarikat atau organisasi yang melanggar fatwa tetap tertakluk secara peribadi.

"Jadi, isu pertubuhan lari daripada tanggungjawab tidak timbul. Tanggungjawab terhadap pelanggaran fatwa terletak pada individu di sebalik entiti itu.

"Perkara ini turut disokong perenggan keempat fatwa, yang hanya meminta individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama supaya bertaubat," katanya.

Pada 14 Mac 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan SIS untuk membatalkan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor, yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

BH melaporkan, keputusan Mahkamah Rayuan ketika itu berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, yang memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dalam isu agama yang belum dapat diselesaikan atau yang kontroversial.

Pada 31 Oktober 2014, SIS memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan fatwa berkenaan.

Baca juga:

No comments:

Post a Comment