Wednesday, 18 June 2025

MAHKAMAH PERSEKUTUAN BENARKAN RAYUAN SIS FORUM

 
Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor,

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini melalui penghakiman majoriti membenarkan rayuan akhir SIS Forum dan dua yang lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, mana-mana individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman menyeleweng liberalisme dan pluralisme menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga menyatakan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural terhadap Islam hendaklah diharamkan dan dirampas serta mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menapis laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Tengku Maimun dalam penghakiman berkata, bagaimanapun fatwa itu adalah sah setakat mana ia merujuk kepada 'mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Beliau berkata, ia juga adalah sah setakat mana ia merujuk kepada 'mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam'.

SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merayu penghakiman Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi 27 Ogos 2019 menolak semakan kehakiman mereka dengan memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Responden dalam rayuan akhir itu ialah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Baca juga: 


No comments:

Post a Comment