Hanya sebilangan kecil individu mengalami kecelaruan mental
disahkan terbabit kes jenayah ganas, sekali gus menuntut stigma masyarakat yang
sering mengaitkan mereka dengan tindakan kejam diperbetulkan.
Selain itu perlu juga diambil kira bahawa individu yang
mengalami kecelaruan mental sebaliknya berisiko menjadi mangsa jenayah
berbanding pelaku.
Kebanyakan jenayah ganas bukan dilakukan individu yang
mengalami kecelaruan mental. Hanya sebilangan kecil kes iaitu antara tiga
hingga 10 peratus, melibatkan individu yang mengalami kecelaruan mental serius.
Kajian mendapati empat jenis kecelaruan mental paling kerap
dilaporkan dalam kalangan banduan jenayah.
Ia membaitkan kemurungan major, gangguan bipolar, gangguan
personaliti antisosial dan gangguan kebimbangan menyeluruh.
Bagaimanapun, kajian mendapati individu yang mengalami
kecelaruan mental tanpa rawatan mempunyai kecenderungan antara dua hingga lapan
kali ganda lebih tinggi untuk terbabit jenayah bunuh, terutamanya bagi mereka
yang menghidap gangguan psikotik seperti delusi, paranoia berpanjangan atau
halusinasi.
Individu yang mengalami kecelaruan mental serta terlibat
dalam penyalahgunaan bahan mempunyai risiko empat kali ganda lebih tinggi
melakukan jenayah atau bertingkah laku ganas berbanding mereka yang hanya
mengalami gangguan mental semata-mata.
Jenayah bunuh sering didorong dendam, kebencian, tekanan
hidup, konflik hubungan, desakan ekonomi atau kegagalan mengawal kemarahan.
Faktor sosial dan persekitaran juga dilihat lebih ketara
dalam menyumbang kepada tingkah laku jenayah berbanding kecelaruan mental
semata-mata.
Terdapat juga kes jenayah yang dikaitkan dengan halusinasi
arahan, iaitu keadaan apabila seseorang mendengar suara atau merasakan seperti
menerima perintah daripada sumber luar yang mendorong mereka melakukan sesuatu
di luar kebiasaan.
Namun, kajian mendapati halusinasi arahan sahaja tidak
menunjukkan risiko ketara untuk tingkah laku jenayah.
Justeru, walaupun terdapat hubungan antara kecelaruan mental
dan tingkah laku jenayah, ia bukan sebab langsung kepada perbuatan itu.
Kecelaruan mental mungkin menjadi pencetus, namun sebelum
seseorang mengalami gangguan tersebut, mereka lazimnya sudah berdepan tekanan
sosial, konflik keluarga atau masalah ekonomi yang boleh mendorong kepada tingkah
laku jenayah.

No comments:
Post a Comment