Barat membawa budaya berasaskan kepada pemikiran
mencapai matlamat hidup tanpa berpandukan kepada asas kepercayaan agama.
Biarpun masyarakat Barat menganuti agama, tetapi mereka memisahkan urusan hidup
seharian dengan agama. Urusan agama hanya dilakukan di tempat ibadat atau
majlis tertentu sahaja.
Amalan ini jauh bertentangan dengan peradaban
Islam. Islam menetapkan segala urusan hidup berteraskan kepada mematuhi perintah
Allah SWT. Biarpun apa diusahakan itu untuk keperluan dunia, ia tidak terlepas
dari rangka mendapat keredaan Allah.
Barat menawarkan cara hidup yang bebas. Hal inilah
cuba disogokkan kepada umat Islam. Mereka membina hubungan dengan Islam secara
polimik yang sering memperlihatkan pertentangan. Atas dasar kebebasan hak,
banyak peraturan agama Islam dilabelkan sebagai kolot.
Barat mempersoalkan aturan agama Islam sepatutnya
memberi pilihan untuk mencapai kebaikan atau matlamat hidup. Menyekat atau
membuat batasan kebebasan akan menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam arus
kehidupan kini.
Mereka cuba memberi kefahaman bahawa punca
kemunduran umat Islam adalah disebabkan mengikut acuan Islam yang dibawa oleh
Nabi Muhammad SAW beribu tahun lalu yang jauh berbeza dengan sekarang.
Barat turut mendakwa, apa yang dibawa Nabi
Muhammad SAW itu adalah untuk masyarakat Arab pada waktu itu. Keperluan hidup
manusia berbeza mengikut kawasan tempat tinggal yang melibatkan budaya, cuaca
dan keadaan persekitaran.
Jadi, untuk mencapai kemajuan hidup perlulah
mengikut peredaran masa dan keperluan sebenar masyarakat di sesuatu tempat.
Sesungguhya, apa yang didakwa Barat itu adalah
serangan pemikiran yang cuba mengubah akidah umat Islam. Dengan mengubah
pemikiran inilah maka dengan mudahnya mereka menjadikan umat Islam mengikut
aliran pemikiran Barat.
Umat Islam perlu ditanam dengan jati diri bahawa
aturan syariat yang ditetapkan Allah adalah yang terbaik dan sesuai dengan
fitrah manusia. Manusia yang cuba mengubah apa yang ditetapkan oleh Maha
Pencipta tidak akan mencapai kebaikan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Umpama kita cuba mengubah aturan yang ditetapkan
oleh pembuat kereta dengan memasukkan atau membuang alatan tertentu, maka
kereta itu tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia akan membahayakan pemandu dan
penumpang kereta itu.
No comments:
Post a Comment