Wednesday, 8 January 2020

PILIH PEMIMPIN BERDASARKAN KELAYAKAN


Isu kepimpinan bukan perkara kecil. Silap pilih pemimpin, maka buruknya ditanggung oleh rakyat. Sebab itu, ketika memilih pemimpin, lakukan dengan fikiran yang waras. Bukan kerana dendam menolak pemimpin lama, maka dipilih pula pemimpin lain yang tidak diselidik kemampuannya.

Dalam negara atau organisasi yang mengamalkan dasar demokrasi seperti negara kita, pemimpin dipilih sendiri oleh rakyat atau ahli. Tempoh jawatan untuk sesuatu jawatan ditetepkan.

Seseorang pemimpin yang ingi dipilih akan menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat. Mereka akan menyertai proses pemilihan atau pengundian. Untuk menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri, bakal pemimpin perlu menjadi calon dalam pilihan raya umum mapuhun pilihan raya kecil. Mana-mana calon yang mendapat undi majoriti, maka dialah yang dilantik menjadi pemimpin.

Untuk memilih pemimpin, perlulah dilakukan dengan cara betul agar pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Jika silap pilih, rakyat sendiri yang rugi.  

Pemimpin yang baik sentiasa dikasihi rakyat kerana dia sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat. Tegasnya, pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Kepimpinan adalah amanah yang cukup berat dan sarat dengan tanggungjawab. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas dapat menjalankan tanggungawab itu.   Tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap pemimpin berbeza-beza bergantung kepada kedudukan atau kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Sebenarnya, konsep kepimpinan dalam Islam meletakkan sebahagian besar daripada kita adalah pemimpin. Suami menjadi pemimpin dalam keluarga. Malah dijelaskan bahawa jika dua orang melakukan urusan bersama, maka salah seorang perlu dilantik menjadi pemimpin. 

Di peringkat manapun tahap kepimpinan, kita tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Jangan abaikan tugas yang perlu dilakukan. Sebagai seorang pemimpin perlu sentiasa berfikir dan berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

Individu sebagai pemimpin mempunyai tanggungjawab yang amat berat sehingga ada yang tidak dapat melaksanakan dengan baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik.

Pemimpin yang jujur dan ikhlas sedar bahawa akan berdepan dengan persoalan Allah tentang urusan yang diamanahkan kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin yang kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.  Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami ialah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Seorang isteri ialah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang dibawah tanggungannya. Manakala soal khadam ialah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap apa di bawah jagaannya. Jadi, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


No comments:

Post a Comment