Monday 28 February 2022

SEJARAH TENTERA DARAT MALAYSIA

 
Sejarah Tentera Darat Malaysia bermula dengan usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi.

Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mengujudkan pasukan ini. 

Pada tahun 1913 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad ibni Yam Tunku Antah, Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah, Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Damad telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu.

Hasrat Raja-raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11.

Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanah air telah tampil menawarkan khidmat mereka. Tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. 

Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang Institut Pengurusan Tentera Darat - IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933.

Tarikh 1 Mac telah dijadikan sebagai hari ulang tahun Tentera Darat Malaysia.

Tentera Darat Malaysia adalah sebuah organisasi yang unik dan tersendiri. Sekarang terdapat 16 Kor dan Rejimen yang mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Fungsi dan peranan mereka adalah berbeza berdasarkan tugas dan kepakaran.

Struktur pasukan dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu Kelompok Tempur, Kelompok Bantuan Tempur dan Kelompok Bantuan Perkhidmatan.

Kelompok Tempur terdiri Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Rejimen Sempadan (RS) dan Kor Armo Diraja (KAD).

Kelompok Bantuan tempur pula terdiri Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Kor Risik Diraja (KRD).

Manakala Kelompok Bantuan Perkhidmatan terdiri Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Kor Perkhidmatan Am (KPA), Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kor Ordnans Diraja (KOD), Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Manakala satu lagi pasukan ialah Rejiman Askar Wataniah yang menjadi anggota simpanan di rejimen atau kor di ketiga-tiga kelompok berkenaan.  

Dua pasukan khas dalam Tentera Darat Malaysia ialah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Gruk Gerak Khas (Komando).

No comments:

Post a Comment