Thursday 10 March 2022

CARA RAWATAN UNTUK EKZEMA

 
Rawatan yang paling penting untuk ekzema ialah penjagaan asas kulit. Sabun dan pelembab yang sesuai perlu sentiasa digunakan.

Ubat sapu khas untuk ekzema dan ubat yang dimakan hendaklah berdasarkan nasihat doktor.

Pesakit ekzema perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih produk kebersihan dan kecantikan kerana mungkin mengandungi bahan yang dapat mencetus ekzema.

Sabun yang sesuai untuk penyakit ekzema ialah sabun khas tidak mengandungi kandungan bahan pencuci kuat, tidak menghasilkan banyak buih dan tidak mengeringkan kulit.

Sabun yang mengandungi lye (sodium hydrochloride, potassium hydroxide, sodium lauryl sulphate), bahan antibakteria dan wangian perlu dielakkan.

Sabun tidak dapat merawat ekzema yang aktif, tetapi sabun sesuai dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit dan seterusnya memelihara lapisan pelindung kulit.

Penggunaan pelembab ialah langkah paling penting untuk mengawal penyakit ekzema kerana kebanyakan pesakit mempunyai kulit kering.

'Glycerol' atau 'glycerine' dan 'urea' adalah kandungan pelembab yang baik.

Aahan lain yang juga berkesan ialah 'petrolatum', 'paraffin', 'propylene glycol', 'ceramide', 'cholesterol' dan minyak mineral atau minyak sayuran (kelapa atau zaiton).

Penggunaan pelembab secara konsisten dan berterusan dapat mengurangkan kekerapan letusan ekzema serta penggunaan ubat sapu steroid dan ubat ekzema yang lain.

Ubat sapu steroid ialah ubat yang paling kerap disarankan oleh doktor. Ia berkesan untuk merawat setiap peringkat ekzema.

Terdapat pelbagai jenis ubat sapu steroid dengan kekuatan berbeza.

Ubat sapu steroid perlu digunakan secara betul untuk mendapatkan kesan yang terbaik.

Pemilihan jenis steroid yang tidak sesuai atau penyalahgunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.

Cara penggunaan yang salah juga boleh menyumbang kepada masalah kebergantungan kepada steroid.

Ubat sapu 'calcineurin inhibitor' (TCI) dan 'crisaborole' ialah ubatan yang lebih baharu dan tidak mengandungi steroid.

Kesan sampingan adalah seperti rasa pedih dan sakit boleh menghadkan penggunaan ubat ini, di samping kosnya yang tinggi.

Selain ubat sapu, ubat 'antihistamine' (ubat makan) dapat membantu untuk mengurangkan rasa gatal dan memberi keselesaan kepada pesakit.

Balutan basah ialah rawatan intensif untuk ekzema tahap sederhana dan serius.

Ia dapat membantu ubat sapu diserap dengan lebih baik ke dalam kulit serta mengelakkan kulit daripada digaru.

Mandian antiseptik dua hingga tiga kali seminggu dapat mengawal kandungan kuman pada permukaan kulit.

Ekzema tahap serius mungkin memerlukan rawatan tambahan seperti ubat makan 'prednisolone', 'cyclosporin', 'azathioprine' dan 'methotrexate'.

Prednisolone adalah sejenis ubat steroid. Ubat ini bertindak dengan mengawal ekzema melalui kesannya kepada sistem keimunan.

Semua ubat ini mempunyai pelbagai kesan sampingan yang perlu dipantau oleh doktor berkelayakan dan berpengalaman.

Keputusan untuk menggunakan ubat ini memerlukan pertimbangan berdasarkan faedah dan kesan sampingannya.

Rawatan seperti fototerapi juga boleh digunakan untuk pesakit ekzema yang tidak menunjukkan tindak balas yang optimum dengan rawatan lain.

Rawatan ini sesuai untuk ekzema tahap sederhana atau serius. Rawatan fototerapi menggunakan kaedah pendedahan kulit pada sinaran Ultraviolet A (UVA) atau B (UVB) daripada mesin khas sebanyak dua atau tiga kali seminggu untuk jangka masa tertentu.

No comments:

Post a Comment