Saturday, 2 June 2018

DOSA DISEBABKAN JANJI BOHONG

Bohong atau al-kazib ialah menyatakan tidak benar atau dusta mengenai sesuatu. Bohong juga berkaitan janji dusta. Berbohong perbuatan terkutut yang dilaknat Allah swt dan termasuk dosa besar melibatkan lidah. Amalan tersebut merupakan salah satu ciri orang munafik dan tanda tidak beriman. 

Firman Allah bermaksud: “Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah pendusta.” - (Surah an-Nahl, ayat 105).

Jelas sekali, sesiapa berbohong bemakna keimannya masih tidak sempurna biarpun dirinya mengaku beriman kepada Allah.

Sesiapa berbuat bohong adalah layak ditimpakan laknat daripada Allah. Tiada keberkatan dan rahmat Allah kepada pembohong. Firman Allah bermaksud: “Agar laknat Allah itu ditimpakan kepada orang-orang yang berbohong.” - (Surah Ali Imran, ayat 61).

Justeru, berhati-hati dalam percakapan. Banyak bercakap mungkin ada perkataan yang bersifat bohong. Ada orang berbohong kerana ini kelihatan dirinya hebat atau ingin menutup kelemahan diri.

Orang akan berbohong apabila terdesak dalam sesuatu keadaan. Contohnya, apabila melakukan kesalahan, akan berlaku pembohongan untuk memberi alasan mengapa perbuatan salah itu dilakukan atau berlaku.

Orang suka berbohong sebenarnya memantingkan diri sendiri. Dia tidak fikir kesan dia berbohong asalkan dia mendapat apa yang diingini. 

Janji untuk melakukan sesuatu biarpun diketahui tidak mampu dilakukan merupakan antara sikap pembohongan atau penipuan yang nyata. Sikap ini banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang yang menjadi punca kepada konflik dalam hubungan sesama rakan.

Berhati-hatilah dalam berjanji kerana takut nanti menjadi satu pembohongan yang nyata. Berjanji dengan niat untuk memungkiri janji itu adalah sifat orang munafik.

No comments:

Post a Comment