Monday 9 October 2023

KHASIAT BUAH BERANGAN

 
Buah berangan rasa lemak manis serta tinggi khasiat antara tarikan ia mendapat tempat dalam kalangan peminatnya tersendiri. Pokok berangan biasanya tumbuh secara semula jadi di hutan di Malaysia.
 
Pokok berangan banyak jenis. Jadi, ukuran buah juga berbeza. Kebanyakan jenis berangan di Malaysia ukuran buah agak kecil, namun masih boleh dijadikan makanan. Kebanyakan buah yang ada di pasaran di negara kita yang berukuran besar adalah diimport dari luar negara, terutama dari China.  
 
Buah berangan kebiasaanya di makan setelah dibakar atau digoreng tanpa menggunakan minyak. Biasanya ia digoreng dengan pasir dimasukkan ke dalam kuali atau dulang.
 
Buah berangan juga boleh ia dikeringkan dan digiling menjadi debu seperti tepung yang kemudian dapat digunakan untuk membuat produk roti, kuih-muih, pastri, pasta, polenta atau digunakan sebagai bahan pemekat untuk kuliner sup atau membuat sos. 
 
Buah berangan mempunyai serat yang tinggi serta yang terbaik untuk sistem penghadaman. Amalan pemakanan serat secara konsisten dapat merangsang pergerakan usus secara lebih lancar. Ini seterusnya dapat mengelakkan keradangan dan ketidakselesaan perut.
 
Buah berangan kaya dengan pelbagai mineral yang baik untuk kesihatan minda iaitu vitamin B khususnya folat, riboflavin dan thiamin yang memainkan peranan penting dalam perkembangan neuron. Zat Kalium yang ditemui dalam buah berangan pula membantu dalam meningkatkan peredaran darah kepada otak, menyihatkan sistem saraf. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehan daya ingatan dan fokus.
 
Kebaikan lain memakan buah berangan ialah  mampu mengawal tekanan darah kerana kandungan nutrisi yang padat dalam buah berangan juga amat baik dalam mengawal tekanan darah kepada tahap optimum.
 
Kalium (K) berfungsi dengan mengawal pergerakan air di dalam badan dengan kehadiran sodium. Ia juga bertindak dengan mengurangkan tekanan pada salur darah bagi melancarkan lagi peredaran darah. Tekanan darah yang optimum ini pula dapat mencegah daripada risiko penyakit jantung atau strok.
 
Seterusnya khasiat dapat meningkatkan ketumpatan tulang, yakni mengurangkan risiko tulang rapuh atau osteoporosis. Keberadaan kuprum dan magnesium dalam buah berangan berfungsi menguatkan tulang.
 
Mineral kuprum (Cu) adalah penting bagi perkembangan tulang yang sihat di samping menguatkan sistem imun badan. Magnesium (Mg) pula berperanan dalam meningkatkan ketumpatan tulang serta baik untuk kesihatan menyeluruh.
 
Buah berangan juga didapati kaya dengan vitamin C. Setengah cawan buah berangan mampu membekalkan sehingga 35 - 45% vitamin C yang diperlukan sehari. Bagi mengekalkan nutrisi penuh vitamin C dari buah berangan sebaiknya cara penyediaannya adalah ia boleh dipanggang dalam suhu rendah. Diet yang kaya vitamin C adalah penting bagi tubuh melawan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.
 
 

No comments:

Post a Comment