Thursday 28 December 2023

JAGA ADAB DI MEDIA SOSIAL

 
Pejuang Islam perlu menunjukkan tauladan yang baik di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Mereka adalah pendakwah yang menunjukkan contoh dan tauladan kepada semua, termasuk kepada bukan Islam.
 
Perkara yang mudah dilihat adalah tindak tanduk dan perilaku di media sosial. Ia boleh dilihat oleh banyak pihak secara terbuka atau biarpun hanya di kalangan tertentu (kawan, ahli kumpulan atau pengikut) ia masih dianggap sebagai meluas.
 
Amat malang jika di kumpulan atau halaman yang dikendalikan organisasi pejuang Islam, hantaran atau komen yang ditulis mempamerkan sikap ego, ekstrem dan jahil agama.
 
Kalau baca hantaran dan komen berbagai-bagai perkataan yang tidak manis boleh dijumpai seperti jahil, sesat, kafir, dajal, bodoh, puak LGBT, puak liberal dan lain-lain.
 
Jagalah adab di media sosial. Jadilah pejuang dan pendakwah yang bijak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk golongan Muslim (yang berserah diri)?’” (Surah Fussilat, ayat 33)
 
Dakwah berasal daripada perkataan bahasa Arab (da’a) yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, dakwah adalah mengajak kepada Islam, mengikuti petunjuk-Nya, mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadah kepada-Nya, melepaskan diri daripada semua ketaatan kepada selain-Nya, membenarkan apa yang dibenarkan oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf, mencegah yang mungkar dan berjihad di jalan Allah.
 
Pendek kata, dakwah adalah panggilan ke jalan Allah, selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang yang musyrik.’” (Surah Yusuf, ayat 108)

Gambar sekadar hiasan.
 

No comments:

Post a Comment