Masyarakat dunia yang rasional akan terus
menolak dan menentang golongan pelampau, terutamanya golongan pengganas. Umat
Islam perlu membuktikan bahawa Islam agama mengajak kepada keamanan dan
kesejahteraan. Justeru, kewujudan golongan Islam ekstrem perlu dibenteras.
Jauhi amalan bertindak membabi buta dan tidak menggunakan kebijaksanaan akal.
Sekiranya umat Islam tidak bersatu,
termasuk dalam urusan pentadbiran negara, maka selama-lamanya Islam akan terus
lemah. Banyak kuasa negara Islam kini tergadai kepada bukan Islam.
Hal ini juga mungkin berlaku di Malaysia.
Kuasa pemerintahan Islam di Malaysia bakal berkubur jika pemimpin Islam terus
berpecah dan saling menjatuhkan antara satu sama lain.
Isu Islamofobia bukan isu bermusim. Ini
berlaku berterusan biarpun tahapnya naik turun berdasarkan kepada isu-isu
tertentu. Kebencian yang dizahirkan oleh bukan islam terhadap Islam yang
berterusan merupakan sebahagian daripada manifestasi islamophobia atau
kebencian terhadap Islam.
Umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa
fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya,
budayanya atau apa sahaja yang berkaitan dengan Islam.
Dari segi makna, menurut Pelapor Khas PBB,
Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap
Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti
daripada mereka.
Sehingga hari ini Islamofobia masih
menjangkiti sebahagian masyarakat dunia termasuk dari Barat. Antara faktornya
adalah kemunculan masyarakat Islam dari jalur keras melalui fenomena terorisme,
ISIS, dan wahabisme yang dianggap menganuti radikalisme atau radikal Islam.
Persepsi negatif yang terbina akibat fobia
terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek merangkumi pandangan
serong terhadap undang-undang, nilai dan budaya yang dibawa oleh Islam.
Persepsi negatif yang terbentuk ini dapat
dikesan dalam Laporan yang dibuat oleh Runnymede di London bertajuk
‘Islamofobia: A Challenge for Us’ All, yang secara khusus menyatakan bahawa
Islam dilihat sebagai blok monolitik, statik dan tidak berkembang; lebih lemah
berbanding Barat; tidak bertamadun, tidak rasional, primitif; bersikap ganas,
agresif, mengancam, menyokong keganasan dan terlibat dalam pertembungan
peradaban.
Rumusan yang dibuat Runnymede ini
mengesahkan bahawa Islam telah disalahfahami oleh banyak pihak terutamanya
masyarakat bukan Islam di barat. Manifestasi Islamofobia dizahirkan dalam
pelbagai bentuk ekspresi seperti penulisan buku, penghasilan filem dan
perbuatan yang merangkumi keganasan, protes dan gerakan Islamofobia itu
sendiri. Kes pembunuhan kejam umat Islam di Masjid Al Noor dan Pusat Islam
Linwood di Christchurch, New Zealand, semasa sembahyang Jumaat pada 15 Mac 2019
adalah antara tragedi terburuk akibat Islamophobia.
Selain itu terdapat juga kes diskriminasi
undang-undang yang dilakukan negara barat. Switzerland misalnya telah meminda
undang-undang bagi mengharamkan pembinaan menara-menara masjid, walaupun ia
melanggar hak asasi umat Islam di Switzerland, dan mendapat kecaman pelbagai
pihak termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
dan ’Amnesty International.
Terdapat juga kes di mana pelajar bertudung
tidak dibenarkan bersekolah seperti yang berlaku di Kanada dan Perancis.
Demikianlah buruknya kesan Islamophobia kepada masyarakat Islam.
Sehubungan dengan itu, persepsi yang salah
ini perlu dibetulkan segera. Terdapat dua perkara penting yang perlu dijadikan
keutamaan iaitu menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat dunia tentang
prinsip-prinsip Islam berkaitan kehidupan dan kemanusiaan; serta mengajak umat
Islam untuk hidup secara harmoni dan bertoleransi berdasarkan ajaran Islam
sebenar.
Tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh
setiap individu Islam termasuk institusi-institusi, badan-badan dan pertubuhan
Islam, dan pemimpin umat Islam.
Gerakan menangani Islamophobia telah giat
dijalankan di seluruh dunia antaranya Forum Against Islamophobia and Racism,
Islamic Human Rights Commission di UK, the Council on American-Islamic
Relations di Amerika, European Muslim Initiative for Social Cohesion di Denmark
dan Perancis, Jewish-Muslim Cooperation Platform di Belgium, Austrian
Muslim Initiative di Austria dan sebagainya.
Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam
boleh menjadi model menerusi tatacara dan urus takbir negara yang adil dan
inklusif sifatnya. Enam tonggak Malaysia Madani yang menjadi kerangka dasar
pentadbiran kerajaan boleh dijadikan contoh tentang sikap terbuka, toleransi
dan meraikan kepelbagaian masyarakat oleh sebuah negara yang diterajui oleh
umat Islam.
Mesej keamanan dan kedamaian perlu sentiasa
disebarluaskan untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang kesejahteraan yang
dibawa oleh Islam. Warkah Saidina Ali kepada Malik Ashtar turut menjadi bukti
tentang mesej keinsanan, kesejahteraan dan keadilan Islam. Oleh sebab itu
persepsi yang mengaitkan Islam dengan keganasan adalah tidak benar, dan
Islamofobia yang berasaskan prejudis perlu dihentikan.
No comments:
Post a Comment