Wednesday 31 July 2024

FERI PASIR KELANG SEBERANGI SUNGAI KELANTAN

 
Pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Kelantan dari Kampung Pasir Ara ke Pasir Kelang masih belum siap atau mengalami kelewatan. Ini bermakna penduduk perlu terus mengharapkan kepada khidmat feri untuk membawa penumpang dan kenderaan menyeberangi Sungai Kelantan.
 
Feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad yang mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang pada satu-satu masa, mula beroperasi pada 2013.
 
Perkhidmatan feri ini dimanfaatkan oleh kira-kira 15,000 orang penduduk yang tinggal di seberang Sungai Kelantan, melibatkan enam kampung iaitu Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.
 
Biarpun berada di seberang Sungai Kelantan, keenam-enam kampung tersebut berada di bawah pentadbiran jajahan (daerah) Kuala Krai. Ini bermakna segala urusan yang melibatkan pihak kerajaan sama ada pusat mahupun negeri, perlu melalui pejabat yang berada di Kuala Krai.
 
Sebelum ada perkhidmatan feri, penduduk menggunakan bot enjin galah untuk menyeberangi Sungai Kelantan yang hanya boleh membawa penumpang dan motosikal.
 
Manakala kenderaan lain seperti lori dan kereta terpaksa melalui Kampung Sokor di Tanah Merah yang lebih jauh dan mengambil masa yang lebih lama.
 
Perkhidmatan feri ini beroperasi setiap hari dan mengambil masa kurang lima minit perjalanan untuk menyeberangi Sungai Kelantan dengan lebar lebih kurang 250 meter.
 
Pada hari biasa, feri ini beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun pada musim perayaan, operasinya dilanjutkan sehingga lewat pagi bagi memastikan tidak ada penumpang yang terkandas atau menunggu di jeti terlalu lama.
 
Tambang yang dikenakan adalah RM1 bagi setiap individu, motosikal RM2 dan untuk kereta pula antara RM6 atau lebih bergantung kepada jenis kenderaan dan juga muatan barang yang dibawa bersama.
 


No comments:

Post a Comment