Monday 2 September 2024

TANAH MENDAP, ADAKAH BANDAR KITA SELAMAT

 
Kuala Lumpur digemparkan apabila seorang pelancong warga India hilang setelah terjatuh ke dalam tanah mendap di Masjid India.
 
Dalam kejadian antara 8.10 pagi hingga 8.20 pagi 23 Ogos 2024, mangsa Vijaya Lakshmi Goli, 48 yang berasal dari negeri Andhra Pradesh, India tertimbus pada kedalaman 10 meter selepas tanah jerlus berlaku.
 
Misi pencarian berterusan selama sembilan hari oleh pasukan SAR yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
 
Bagaimanapun, operasi itu terpaksa ditamatkan sepenuhnya selepas segala usaha yang dilaksanakan pasukan SAR menemui jalan buntu dalam menjejaki keberadaan mangsa tanah jerlus itu.
 
Insiden ini berlaku selepas hujan lebat yang melanda ibu kota sepanjang minggu sebelum kejadian. Bandar Raya Kuala Lumpur yang sebahagiannya dibina di atas batu kapur sering dikaitkan dengan risiko tanah mendap kerana morfologi kars, di mana air melarutkan batu kapur, membentuk ruang bawah tanah atau gegua. Apabila ruang ini semakin besar dan tanah di atasnya tidak stabil, lubang benam boleh berlaku secara tiba-tiba.
 
Namun, pakar geologi mengesahkan bahawa kawasan Masjid India bukan di atas batu kapur, menunjukkan punca lain mungkin kelemahan infrastruktur atau sistem saliran yang tidak berfungsi.
 
Selain risiko geologi, kejadian ini mendedahkan kelemahan infrastruktur bawah tanah yang sering kali tersembunyi di bawah jalan raya kita. Saluran pembetungan, kabel elektrik, dan paip air yang tertanam tanpa pemetaan yang jelas menghalang usaha menyelamat, mendedahkan bahaya tersembunyi di bawah bandar kita.
 
Kejadian ini mengingatkan kita bahawa pertumbuhan pesat Kuala Lumpur perlu diseimbangkan dengan kestabilan geologi. Pembangunan yang dijalankan harus memastikan keselamatan jangka panjang bandar, sambil mengambil kira risiko alam sekitar dan infrastruktur. 

No comments:

Post a Comment