Wednesday, 19 July 2023

PENGGUNAAN SISTEM WAKTU 24 JAM

 
Sistem waktu 24 jam merupakan amalan penjagaan waktu yang mana sehari menjangkau dari tengah malam ke tengah malam dan terbahagi kepada 24 jam yang ditandai oleh jam-jam yang berlalu sejak tengah malam, dari 0 hingga 23.
 
Sistem ini adalah yang paling banyak digunakan di dunia pada masa kini, dan juga piawaian antarabangsa untuk notasi waktu. Dalam amalan perubatan, jam 24 jam umumnya digunakan dalam pendokumenan jitu untuk mengelakkan sebarang kekaburan berkenaan peristiwa-peristiwa dalam sejarah perubatan seseorang pesakit.
 
Jam 24 jam juga dikenali ramai sebagai waktu tentera atau waktu astronomi.
 
Sebenarnya, sistem 24 jam sudah digunakan berkurun-kurun lamanya, khususnya oleh ahli sains, ahli astronomi dan pelayaran. Terdapat banyak contoh jam lama yang dibina dengan sistem 24 jam, termasuklah Orloj yang terkenal di Prague dan jam pintu Shepherd di Greenwich.
 
Di Persidangan Meridian Antarabangsa pada 1884, Lewis M Rutherfurd mengusulkan: “Bahawa hari semesta ini akan dijadikan hari suria min yang bermula pada ketika tengah malam min di meridian asal untuk seluruh dunia, berbetulan dengan bermulanya hari dan tarikh awam untuk meridian tersebut, dan dikira dari kosong hingga dua puluh empat jam.”
Resolusi ini diterima guna oleh persidangan tersebut.
 
Menurut laporan akhbar Times London pada 1886, jam 24 jam sudah pun digunakan untuk perkhidmatan keretapi Canadian Pacific Railway di Port Arthur.
 
Negara terawal yang memperkenalkan sistem 24 jam ke seluruh negara adalah Itali pada tahun 1893, disusuli pula oleh negara-negara lain: Perancis menerima gunanya pada tahun 1912 (tentera Perancis pada 1909), diikuti oleh Denmark (1916), dan Yunani (1917).
 
Menjelang 1920, Sepanyol, Portugis, Belgium, dan Swiss telah beralih, diikuti oleh Turki (1925), dan Jerman (1927). Menjelang awal 1920-an, kebanyakan negara di Amerika Latin turut menerima pakai sistem 24 jam.

No comments:

Post a Comment