Islam agama
yang syumul telah mengatur cara hidup yang sempurna dalam semua aspek untuk diamalkan
oleh penganutnya. Antara perkara yang
dianjurkan agar diamalkan ialah mengucapkan salam dan
menjawab salam. Amalan itu mempunyai
banyak kebaikan jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pada
asasnya ucapan salam sama tujuannya dengan ucapan sapaan seperti helo, hai, apa
khabar dan selamat pagi. Bagaimanapun, pada hakikatnya salam tidak boleh
disamakan dengan mana-mana perkataan sapaan lain yang sekadar satu ucapan biasa.
Berlainan
dengan ucapan salam yang mempunyai
kelebihan jika diamalkan kerana ia ucapan yang berdasarkan kepada kehendak
agama.
Maksud
sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang
sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis
riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)
Hadis
itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila
berjumpa dengan Muslim lain. Malah dalam
hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan dengan salam.
Maka
sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam dan menjawab salam
kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali betapa pentingnya ucapan
salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.
No comments:
Post a Comment