Monday, 9 December 2024

BANJIR BESAR 1971 MELANDA NEGARA

 
Pada tahun 1971, banjir besar melanda di seluruh Semenanjung, kecuali di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Hujan lebat mula turun pada 25 Disember 1970 berlarutan sehingga minggu pertama 1971 melumpuhkan negeri-negeri pantai timur, terutama Pahang. Kawasan Pekan paling terjejas akibat limpahan air Sungai Pahang.
 
Banjir yang berlaku di Pekan luar biasa teruk. Banyak kawasan ditenggelami air sehingga melebihi 10 meter. Rumah penduduk banyak tenggelam dan rosak. Jalan perhubungan terputus menyebabkan proses memindahkan mangsa banjir menjadi sukar. Sedangkan kemudahan bot yang dimiliki tentera dan polis agak terhad. Kebanyakan penduduk menggunakan perahu sendiri dan ada yang membuat rakit menggunakan batang pisang dan buluh untuk menyelamatkan diri.
 
Pasukan penyelamat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas siang malam memindahkan mangsa banjir selama 10 hari. Selain memindahkan mangsa, pasukan sama juga bertugas menghantar bekalan makanan dan keperluan lain.
 
Di kawasan-kawasan lain di seluruh negara tidak kira terkesan dengan banjir besar. Keadaan itu mendorong kerajaan Pusat mengiystiharkan Bencana Darurat. Bantuan dihantar ke seluruh kawasan mengikut keutamaan. Ketika itu, penggunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti helikopter NURI dan Alouette, serta kapal terbang pengangkut diguna semaksima mungkin.
 
Bantuan dari tentera luar seperti Singapura, Australia dan British juga turut menyediakann khidmat penghantaran udara berupa makanan dan peralatan keperluan menyelamat seperti bot. Pihak ATM melakukan koordinasi bantuan sehingga bertugas tanpa henti dan dalam serba keadaan kekurangan. Malah, pangkalan udara TUDM di Kuantan terputus bekalan elektrik sehingga mereka bekerja pada waktu malam dengan bertemankan lilin.
 
Selain negeri di pantai timur, negeri lain turut terjejas teruk. Ini menyebabkan setiap negeri perlu menguruskan situasi banjir sendiri. Bantuan dari negeri-negeri lain tidak dapat dihantar kerana jalan raya terputus. Hanya bantuan melalui udara sahaja dapat dilakukan, itupun agak terhad. Kuala Lumpur sendiri lumpuh apabila kebanyakan kawasan ditenggelami air.
 







No comments:

Post a Comment