Saturday 28 July 2018

HAYATI KEBEBASAN DENGAN KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Dalam konteks negara, kemerdekaan adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara merdeka diperintah dan ditadbir oleh rakyat negara berkenaan. Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu memberi hak yang sama kepada semua negara merdeka tanpa mengira kedudukan geografi, kekayaan, kekuatan dan perihal penduduknya.

Kemerdekaan mengikut takrif Islam pula ialah kebebasan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Kemerdekaan mempunyai kaitan dengan ketakwaan. Hubungan manusia dengan Allah adalah sebagai hamba. Namun, manusia diberi hak kemerdekaaan.

Ketibaan Islam telah membebaskan masyarakat Arab daripada kejahilan dan kegelapan hidup. Masyarakat Arab yang bergelumbang dengan norma kehidupan ‘binatang’ telah bertukar kepada nilai insan yang luhur dan merdeka daripada kebatilan. 

Nur Islam menerangi manusia ke jalan kesempurnaan dan rahmat. Rahmat kemerdekaan yang dikurniakan Allah terhadap manusia termasuklah dalam hal berkaitan kepercayaan atau agama. 

Islam tidak memaksa agar semua orang menerima ajarannya. Sesiapa yang mendapat nur Islam, ia dilakukan dengan kerelaan sendiri. Tidak ada dalam sejarah penyebaran Islam dilakukan secara paksa. 

Ketika Rasulullah membuka kota Makkah, seluruh penduduknya diberi pilihan untuk menerima Islam atau terus kekal dalam agama asal. Islam disebarkan dengan keyakinan tauhid berdasarkan kepada ia agama terbaik untuk seluruh umat Islam. Kemanisan iman hanya dikecapi jika dilakukan dengan kerelaan dan kesedaran.

Biarpun ketika permulaan Islam disebarkan melibatkan penaklukan dan penguasaan terhadap wilayah, termasuk kuasa besar Empayar Byzantine dan Parsi, ia bukan satu paksaan penerimaan Islam. 

Islam menggunakan kekuatan ketenteraan bertujuan memerangi kuasa yang mengancam keselamatan Islam dan menghalang kebebasan penyebaran agama tauhid. Mana-mana kerajaan yang melayan permintaan untuk menyebar Islam di tempatnya dianggap sebagai sahabat. 

Tuduhan Orientalis Barat mengaitkan penyebaran Islam dilakukan dengan paksa membuktikan buta sejarah. Islam menguasai sesuatu tempat bukan atas dasar menjajah. 

Apabila tentera Islam menakluk sesuatu kawasan, tidak seorang penduduknya dipaksa menganut Islam. Bahkan, Islam memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada penduduk sesuatu kawasan untuk melakukan apa yang dikehendaki, termasuk kuasa pemerintahan kepada rakyatnya.

Hakikat kemerdekaan yang diamalkan umat Islam menjadi ia dipandang amat tinggi, sempurna dan bertepatan dengan naluri manusia. Keluasan ajaran Islam menjadi faktor mengapa Islam mudah diterima di seluruh pelusok dunia.

Malangnya, semakin jauh Islam dikembangkan, penghayatan terhadap kemerdekaan dalam Islam telah diselewengkan. Umat Islam hanyut dalam kemerdekaan dikurniakan Allah. Kebebasan diberikan telah disalahgunakan sehingga terkeluar daripada ajaran Islam sebenar. 

Kebebasan membuat pilihan telah membawa perpecahan dalam umat Islam. Selepas kewafatan Rasulullah, umat Islam mula berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Proses peralihan kuasa dari seorang khalifah kepada khalifah lain mencetuskan permusuhan.

Kebebasan sepatutnya menambah kekuatan kerana dapat membuat pilihan terbaik. Setiap orang bebas memberi cadangan dan melakukan apa yang terbaik. Ajaran Islam memberi kebebasan bagi umatnya melakukan sesuatu bersesuaian dengan naluri, selagi ia tidak bertentangan dengan batasan syariat.

Sifat kesyumulan Islam tidak terhad kepada bangsa Arab semata-mata. Islam memayungi seluruh umat manusia sehingga ke hari kiamat. Sebab itu konsep kebebasan dan kemerdekaan memberi ruang yang luas untuk manusia melakukan apa diperlukan. Setiap bangsa dan manusia pada zaman berbeza memerlukan sesuatu yang berbeza.

Hal ini jelas dalam membuktikan keluasan rahmat Allah. Manusia bebas melakukan usaha untuk kebaikan. Islam menggalakkan setiap umatnya mencipta kejayaan dan kecemerlangan. 

Bertepatan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah.” - (Hadis riwayat Muslim).

Sesungguhnya apa yang manusia lakukan adalah untuk dirinya sendiri. Allah tidak mendapat keuntungan atau kerugiaan atas apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah memberi pembalasan bersesuaian dengan apa yang dilakukan manusia. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124).

Beriman hanya kepada Allah memberi kemerdekaan yang lebih bermakna. Manusia menghargai batasan kemerdekaan yang melindungi daripada perkara buruk. Kemerdekaan berasaskan takwa memberi kebaikan hakiki kepada manusia.

Jaminan ini dijelaskan Allah dalam surah an-Naba, ayat 31 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa pasti selamat dan bahagia.” Manakala firman-Nya lagi: “ Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya (sebagai pembalasan).” ( Surah an-Naziat, ayat 41-42).

Negara telah menggunakan sepenuhnya nikmat kemerdekaan untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan. Berdasarkan kepada ciri-ciri negara Islam, Malaysia melonjak dengan cepat membebaskan cengkaman kuasa asing yang masih ingin meneruskan penjajahan secara ekonomi, pemikiran dan sosial.

Kemerdekaan negara telah mengubah banyak cara hidup masyarakat. Bilangan universiti dan institusi pengajian tinggi bertambah dengan banyaknya. Kemajuan sains, teknologi dan ICT menjadi teras kemajuan negara.

Malangnya, sebahagian daripada kita masih tidak berubah. Kemerdekaan hanya pada status negara, tetapi tidak pada diri sendiri. 

Masih ada percayakan kepada tahayul dan kurafat. Setiap perkara berkaitan tahayul mendapat minat orang ramai mengetahuinya. Sebab itu rancangan televisyen dan majalah berasaskan kepada bahan-bahan tahayul mendapat tempat di hati masyarakat.

Biarpun penerbit cuba memaparkan satu fenomena alam atau kekuasaan Allah yang dijelaskan melalui sesuatu kejadian, hakikatnya masyarakat masih belum mampu mengubah tanggapan tahayul berkaitannya. Ramai tidak dapat memahami bahawa semuanya kekuasaan dan ketentuan Allah.

Disebabkan kepada kepercayaan karut itulah membawa kepada kurafat. Kepercayaan kepada kemampuan bomoh, keramat, tangkal, benda-benda lama dan hantu masih banyak berlaku. 

Percaya kepada perkara karut marut bukan sahaja memberi kesan kepada akidah, bahkan kehidupan manusia seharian. Syaitan yang menjadi dalang kepada amalan berkenaan cuba menimbulkan berbagai-bagai kejahatan.

Ramai tertipu dengan kemampuan luar biasa bomoh. Bomoh menyebabkan suami isteri bercerai, keluarga bergaduh sesama sendiri, gadis mengadai maruah, kawan menjadi musuh dan harta tergadai.  

Walaupun pendedahan keburukan bomoh dibuat dalam media dan diceritakan secara meluas, masih ramai datang bertemu bomoh. Mereka hidup dalam alam moden, tetapi minda masih di alam kuno. Hal ini berpunca pemikiran masih terjajah.

Percaya kepada tangkal menyebabkan ramai bertindak berani tidak pada tempatnya. Ramai penjenayah mempercayai tangkal. Penjenayah bersenjata dan melakukan rompakan nekad memakai tangkal yang dipercayai menjadikan diri kebal atau tidak dapat dikesan.

Kemerdekaan minda menjadi perkara terpenting dalam usaha membentuk kejayaan hidup. Selagi minda dikuasai blok pemikiran kuno, taksub, mudah percaya, fikiran singkat, mudah mengaku kalah dan tidak berdaya saing, selagi itu seseorang tidak mendapat nikmat kemerdekaan sebenar.

Seseorang akan mendapat kemerdekaan sebenar jika menghayati ajaran Islam. Islam memberi panduan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Sesiapa berpandukan kepada ajaran Islam, dia pasti tidak akan sesat di dunia dan bakal mendapat kejayaan di akhirat.  

Hayatilah kemerdekaan dan merdekakan fikiran daripada sebarang unsur negatif.

No comments:

Post a Comment