Wednesday, 29 January 2020

MENANGANI TEKANAN KEGAGALAN DALAM PEPERIKSAAN

Perspektif masyarakat hari ini cenderung melihat pencapaian anak-anak dalam peperiksaan sebagai kayu pengukur kejayaan mereka. Pelajar yang berjaya mendapat seberapa banyak A bakal berasakan harga diri meningkat serta mendapat pengiktirafan daripada keluarga dan masyarakat.

Bagi yang kurang cemerlang pula, mereka mungkin berasa rendah diri atau disisihkan. Akibatnya, mereka mungkin mengalami tekanan perasaan yang amat kuat.

Sekiranya tekanan perasaan tersebut tidak dapat dikawal lagi, maka mereka mungkin mengambil tindakan di luar kawalan sebagai cara untuk melepaskan tekanan.

Persoalannya, bagaimanakah caranya kita membantu para pelajar dalam mengawal emosi agar tindak tanduk mereka sentiasa berada dalam kerangka kewarasan akal fikiran.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi pelajar Muslim mempunyai motivasi yang terbimbing dalam menghadapi cabaran dunia pembelajaran. Dengan memahami konsep menuntut ilmu demi memenuhi tuntutan agama maka kita akan lebih bersemangat serta bertawakal dalam proses pembelajaran kita.

Walau apa pun ganjaran berbentuk kebendaan seperti gred A yang kita inginkan hasil kejayaan kita cemerlang dalam peperiksaan, kita perlu ingat bahawa ganjaran tersebut hanyalah merupakan alat untuk menambah motivasi kita untuk terus berusaha.

Namun matlamat atau niat sebenar kita untuk belajar perlulah dibetulkan iaitu semata-mata kerana Allah.

Faktor niat ini juga dapat mempengaruhi cara penerimaan kita terhadap apa jua keputusan yang diterima kelak. Seandainya matlamat utama kita ditetapkan atas dasar gred A semata-mata, apabila kita gagal mencapainya maka kita mungkin akan berasa amat kecewa.

Hal ini mungkin mendorong ke arah perasaan putus harapan atau menyalahkan takdir. Tetapi sikap sedemikian bercanggah dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Islam sebaliknya mengajar umatnya untuk berusaha sebaik mungkin dan bertawakal kepada Allah terhadap hasil yang bakal diterima.

Pada dasarnya segala kurniaan Allah sama ada berbentuk kesenangan atau kesusahan merupakan ujian untuk kita.

Jika kita mendapat nikmat kesenangan adakah kita bersyukur dengan nikmat tersebut atau adakah kita menjadi semakin lalai daripada mengingati Allah? Jika kita mendapat ujian kesusahan adakah kita bersabar dan terus berusaha atau adakah kita berasa keluh kesah dan berputus asa?

Sebagai pelajar, keputusan peperiksaan yang kita terima juga adalah ujian untuk kita. Adakah kita bersyukur kepada Allah, merendah diri dengan keputusan yang cemerlang atau kita mendabik dada, berbangga-bangga serta berasa takbur dengan usaha kita selama ini.

Bagi yang berjaya, kita seharusnya bersyukur atas kejayaan tersebut dan bersimpati terhadap mereka yang kurang berjaya. Kita juga tidak sepatutnya berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk kejayaan tersebut kerana ia boleh menimbulkan rasa sakit hati atau jelik insan lain yang kurang bernasib baik.

Walaupun usaha gigih kita selama ini ternyata membuahkan hasil, namun kita harus sedar bahawa segalanya datang dari Allah. Kejayaan kita juga adalah dengan izin-Nya. Usaha kita hanyalah sebagai asbab kepada kejayaan tersebut.

Walhal dengan usaha yang sebaik mungkin namun Allah menetapkan rezeki kita tidak seperti yang kita harapkan, maka hal tersebut akan berlaku jua. Jalan yang terbaik adalah dengan berasa reda dengan apa jua keputusan yang didapati, kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Perasaan sedih yang dialami bagi mereka yang gagal mencapai matlamat peperiksaan pula adalah satu perkara yang normal. Di sini kesabaran kita menjadi benteng pertahanan daripada kesedihan yang melampau dan keluh kesah.

Dengan memahami bahawa keputusan tersebut sebagai satu ujian serta memerlukan kita untuk bersabar dan bermuhasabah, maka kita akan berasa lebih tenang malah mendapat ganjaran pahala atas kesabaran kita.

Justeru, konsep qada dan qadar perlu difahami oleh para pelajar agar tekanan emosi yang dialami akibat keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang dapat dikawal dan disalurkan kepada cara yang betul.

Ada juga yang tidak ambil kisah akan keputusan yang didapati, namun hal ini juga merupakan satu kerugian kerana tidak mempelajari hikmah serta melakukan muhasabah daripada pencapaian sendiri. Kegagalan mencapai matlamat peperiksaan perlu dilihat sebagai satu maklum balas berkenaan usaha yang kita telah lakukan selama ini.

Dalam hal ini, para ibu bapa berperanan untuk memberikan kata-kata perangsang kepada anak-anak agar terus berusaha untuk peperiksaan yang akan datang. Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa kepintaran atau kreativiti pelajar bukan sahaja tercermin oleh keupayaan mereka untuk menjawab soalan peperiksaan semata-mata.

Sememangnya terdapat sebilangan anak-anak dengan kurang potensi dalam akademik. Anak-anak sedemikian perlu diterokai dan diasah bakat dan potensi mereka dalam bidang lain yang bermanfaat agar kelak tetap menjadi insan yang berguna.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi tempat anak-anak berkongsi permasalahan dalam pelajaran mereka. Peranan sedemikian dapat berlaku dengan adanya suasana yang sihat dalam hubungan kekeluargaan.

Tidak dinafikan bahawa kejayaan dalam peperiksaan adalah penting bagi menjamin masa depan yang lebih cerah serta menjadi tiket melangkah ke tahap pembelajaran yang lebih tinggi.

Namun pada masa yang sama pelajar Muslim perlu memahami kembali tujuan mereka belajar agar dapat sentiasa dihubungkan dengan matlamat hidup sebagai seorang Muslim.

Insya-Allah dengan niat serta kaedah pembelajaran yang betul kita bukan sahaja akan beroleh keputusan yang cemerlang malah mendapat ganjaran pahala serta keberkatan atas usaha kita.

No comments:

Post a Comment