Thursday, 29 March 2018

SEJARAH HIDUP NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Sejarah hidup Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Bapanya, Nik Mat bin Raja Banjar merupakan keturunan Raja Jembal.

Bapanya, dikenali Tuan Guru Nik Mat Alim mengendalikan pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat. Di situlah Nik Aziz mendapat pendidikan awal.  

Pada usia 9 tahun, Nik Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Terengganu. Beliau di situ selama setahun sehingga Perang Dunia Kedua meletus. 

Beliau berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran fikah. 

Setelah perang tamat beliau menyambung kembali pelajaran di Ittifaqiyah. Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. 

Beliau ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu fikah, usul fikah, tafsir al-Quran dan hadis.

Pada 1957 ke Pakistan mendalami bidang tafsir. Pada 1958 belajar di Kuliyatul Lughah, Al-Azhar, Mesir dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan bahasa Arab. Dua tahun kemudian mendapat ijazah sarjana kehakiman dan perundangan Islam. 

Beliau turut dianugerahkan diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanah air Februari 1962.

Pada 1962,  beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah petang pula, beliau mengajar di Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum yang dikendalikan sendiri di tapak tanah wakaf diberikan ibu saudaranya, Hajjah Kalthom.

Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau berkhidmat di Maahad Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967 dan memenangi kerusi Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa) pada Julai 1967 dalam satu pilihan raya kecil. Beliau terus menguasai kerusi tersebut sehingga PRU 1982 (tamat penggal 1986)

Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api. Beliau menang di DUN dan dilantik ketua pembangkang di DUN Kelantan.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan. Apabila PAS mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 1990, beiau dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan. 

Walaupun telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Beliau terus menyampaikan kuliah agama mengikut jadual yang ditetapkan. 

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak pada tahun 1962. Beliau dikurniakan 10 anak lima perempuan dan lima lelaki.

Kehidupan beliau sederhana. Tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung tanpa perhiasan mewah. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

No comments:

Post a Comment