Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang
dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang
dilakukan itu tidak bertentangan syariat.
Namun apa yang ditakuti ialah
kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang bulan Syawal. Malah ada
yang mengaitkan sambutan sebulan itu sebagai satu tuntutan agama. Sekiranya
berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk
berhari raya. Lirik sebuah lagu raya berbunyi 'kita beraya selama sebulan'.
Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan
syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam
masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.
Adat yang dilakukan untuk kebaikan
tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas
mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan
syariat.
Ibadat dan adat, kedua-duanya dipatuhi
dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya berbeza. Ibadat bersumberkan
daripada perintah Allah SWT, sementara adat pula bersumberkan kehendak dan
kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan turun-temurun.
Kejahilan pengetahuan mengenai agama
menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat apa-apa pahala biarpun
dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang lebih menjurus kepada
adat.
Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang menjadi ibadat atau diterima
sebagai satu amalan dalam Islam. Dalam fikah Islam, sesuatu yang diamalkan
dalam sesuatu masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam diterima
sebagai sesuatu yang baik baik untuk diamalkan. Ia merupakan salah satu
daripada lima kaedah asas dalam al-Qawaid al-Fiqhiyyah.
Untuk diterima sebagai satu amalan
yang baik, hendaklah dijauhi atau bercampur dengan perkara haram. Contohnya,
bagi wanita hendaklah mengelak daripada berpakaian yang mendedahkan aurat.
Begitu juga, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga mesti dijaga
agar tidak terlibat perbuatan haram.
Turut perlu diberi penekanan ialah
menolak sikap membazir ketika sambutan Aidilfitri. Jauhkan juga sikap yang
ditegah seperti bongkak, sombong, riak dan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan yang
dimiliki.
Mengadakan rumah terbuka dan amalan
ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan. Hal itu dapat merapatkan hubungan
yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan
masing-masing. Hadirlah rumah terbuka dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan
harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.
Sambutlah Aidilfitri dengan
sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira
keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian
kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.
Bayangkan jika kita beraya sepanjang
Syawal? Sepatutnya selepas menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan yang
perlu diberikan ialah kepada urusan kehidupan seharian agar lebih berjaya dan
cemerlang. Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar bersederhana dalam semua
perkara.
Ada yang memberitahu
bahawa alunan suara orang bertakbir boleh membuat mereka sedih. Apa yang paling
pelik ialah walaupun takbir itu dialunkan di corong-corong radio atau
dipaparkan di kaca televisyen, ia boleh mengusik perasaan mereka!
Kalau ditanya apa
yang buat mereka sedih, mereka akan beritahu, suara dan lagu yang dibawakan
yang membuat mereka sedih. Astaghfirullah! Sedih sungguh orang Melayu, kan?
Bukan makna kalimat
yang membuat mereka sedih, tetapi kelunakan suara dan alunan lagu takbir itu
yang membuat mereka sedih. Walhal, kalau kita amati makna takbir Aidilfitri itu
ia langsung tidak menunjukan kesedihan.
Sebaliknya, ia adalah
kalimah-kalimah yang memuji kebesaran dan keagungan Allah dan menolak kekufuran
dan akhlak jahat. Tidak ada satu pun kalimat atau bait yang mengajak kita
bersedih.
Orang Timur Tengah
kehairanan apabila melihat orang Melayu melagukan takbir Aidilfitri dan
menangis. Di Timur Tengah, takbir Aidilfitri dibaca beramai-ramai dengan suara
yang tegas yang menjunjukkan kekuatan umat Islam dan pada masa yang sama memuji
dan membesarkan Allah. Tetapi kita di sini menangis sedih kerana alunan
lagunya.
Sebenarnya, lagu yang
dibawakan itu adalah salah satu kaedah tarannum yang dipanggil Jiharkah.
Memanglah, kalau kita baca Quran, kita bawakan lagu Jiharkah. Iramanya sedih
dan lunak, apatah lagi kalau kena pada ayat-ayat yang sesuai dengan alunan
irama tersebut. Tetapi kalau irama itu dibawakan dalam takbir Aidilfitri, ia
menjadikan takbir itu lemah.
Berkaitan soal
pakaian Hari Raya pula. Sudah seperti menjadi kewajipan kita menyambut Hari
Raya dengan pakaian baru. Lantas, orang Melayu membudayakan sambutan Hari Raya
dengan memakai baju kurung bagi yang perempuan dan baju Melayu bagi yang
lelaki.
Rasulullah SAW
menggalakkan kita berbaju baru semasa solat Aidilfitri dan warna yang
digalakkan adalah putih. Oleh kerana orang Melayu suka ‘memeriahkan’ hari Raya,
mereka sanggup beli atau tempah baju kurung dan baju Melayu yang berwarna
warni. Yang peliknya, semasa solat mereka pakai baju lama, tetapi balik ke
rumah, mereka akan tukar baju cantik untuk berjalan jalan raya. Walau apa pun,
mereka mesti hendak berbaju Melayu.
Ziarah-menziarahi
digalakkan dalam Islam kerana ia boleh mengeratkan silaturahim. Namun, orang
Melayu akan membuat suatu aktiviti istimewa khas ziarah-menziarahi pada bulan
Syawal. Mengapa?
Jawapannya ialah kerana
ia sudah dibudayakan begitu. Itulah antara sebab mereka kena beli baju dua tiga
helai atau mungkin lebih. Pada masa yang sama, mereka kena keluarkan belanja
untuk membeli makanan. Belanja yang dikeluarkan berlipat ganda.
Mereka bukan tidak
boleh berziarah, tetapi ziarah hingga tuan rumah kena berhabis-habisan, itu
tidak patut kan? Sebab, kalau tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan, tuan
rumah akan malu.
Lain pula saudara
seislam di Timur Tengah. Mereka mengundang tetamu, tetapi pada bulan Ramadan.
Mereka menjamu para sahabat dan rakan kerana ingin merebut pahala yang berlipat
ganda sempena bulan Ramadan.
Ziarah menziarahi
semasa bulan Syawal mungkin seronok dilakukan beramai-ramai. Maka itu ada orang
Melayu yang penuh semangat pergi dengan secara “berkonvoi”. Mereka menggunakan
tiga, empat kereta untuk berziarah bersama-sama.
Mari kita rujuk
kembali kepada adat bertamu yang telah diajar oleh agama Islam. Antaranya, kita
tidak boleh menyusahkan tuan rumah. Oleh kerana sudah terlalu ramai yang datang
dan juga sudah membayar sewa kereta atau bas, maka tamu tidak boleh ziarah
lama-lama. Tujuan utama berziarah dan beramah mesra tidak tercapai!
Ada pula golongan
yang entah tahu tengok jam atau tidak. Sudah jam 12 tengah malam, mereka masih
sibuk berjalan dari satu rumah ke satu rumah, tanpa mengambil peduli sama ada
tuan rumah sudah beradu atau belum. Semua ini dilakukan atas alasan, “inikan
Hari Raya? Setahun sekali sahaja…”
Kesimpulannya, orang
Melayu sudah terlalu terkeliru. Aidilfitri dimelayukan. Dari segi pakaian,
mesti pakai baju tradisional, dan dari segi jamuan, mesti adakan jamuan
tradisional.
Rancangan di
televisyen pula penuh dengan hiburan. Salam Lebaran, Salam Aidilfitri dan
bermacam macam lagi. Menyanyi lagu Hari Raya lagi. Kalau tidak ada lagu Hari
Raya, orang Melayu macam tak beraya, kata orang Melayu.
Mereka mesti hendak
meriah. Mereka menangis cuma pada hari pertama saja apabila mendengar takbir
yang sendu dan ke kubur. Selepas itu mereka berpesta! Lucu juga lihat bangsa
yang keliru ini. Orang Melayu tidak jelas apa yang mereka mahukan daripada Hari
Raya.
Dulu
sambutan Aidilfitri hanya dua tiga hari saja. Keadaan berubah dengan perubahan
cara hidup dan kemudahan yang dimiliki.
Dengan
ini mereka tidak dapat beraya dengan penduduk yang mereka tinggal di Selangor
dan tidak juga boleh berhariraya dengan teman-teman sekerja seperti di pejabat
dan institusi-institusi yang lain. Apabila mereka pulang mereka ucap mengucap
selamat hariraya dan menukar juadah atau membawa makan bersama terutama seperti
di pejabat dan di tempat kerja.
Bagi
penduduk di taman perumahan dan Bandar mereka mengadakan pertemuan hari raya
seperti di masjid, surau, di balai komuniti, balai raya, padang atau di
bangunan-bangunan tertentu. Oleh kerana hari-hari yang dipilih memakan masa
hari demi hari, maka pertemuan hari raya ini dirasakan sesuai diadakan dalam
masa sebulan bagi bulan Syawal, terutama pada hari-hari hujung minggu – Sabtu
dan Ahad, tetapi bagi pejabat-pejabat dan institusi-institusi keperluan bagi mengadakan
hari raya membawa kepada pemilihan hari bagi sambutan iaitu pada hari-hari
kerja, maka jadilah seluruh hari daripada bulan Syawal itu menjadi pilihan bagi
mengadakan sambutan hari raya.
Budaya
berhari raya sebulan Syawal ini menjadi mantap dalam mana misalnya bagi
masjid-surau memilih malam-malam yang sesuai atau hari minggu, manakala
persatuan taman, badan-badan tertentu, induk dan cawangan biasanya memilih sama
ada hari Sabtu atau Ahad menyambut hariraya, manakala bagi jabatan, institusi
dan sebagainya memilih hari bekerja bagi menyambut hari raya.
Hari
raya dilihat sebagai hari menyambung silatur-rahim, bergembira dan
bermaaf-maafan, sebab itu jemputan yang dibuat ialah terhadap berbagai-bagai
lapisan masyarakat, sebab itu seorang pemimpin, ketua dari jabatan dan
institusi menjemput terutama kakitangan pekerja dan lain-lain dan juga menerima
banyak jemputan dari berbagai pihak, maka pihak yang menerima jemputan, katakan
Adun dalam bulan Syawal banyak menunaikan jemputan raya hingga melibatkan
belasan jemputan pada satu hari, terutama pada hari-hari minggu.
Hasil
dari budaya raya sebulan Ramadan, ialah melibatkan penyediaan makanan bagi
satu-satu tempat sambutan, maka dilihat juadah makanan tidak lagi sama dan
biasa, tetapi melibatkan penyediaan mereka yang datang dari berbagai-bagai
negeri, maka terhasil juadah dan makanan yang disediakan berpelbagaian.
Juadah-juadah utama seperti ketupat, lemang, nasi impit, nasi beriani, laksa
yang berbagai jenis laksa, sate, nasi dagang, putu mayang, soto, mei, begitu
juga dengan kuih berbagai jenis kuih.
Pendek
kata hari raya menampilkan juga budaya keunikan berbagai juadah yang
disediakan. Keceriaan juga dilihat dari berbagai pakaian yang disukai. Bagi
lelaki berpakaian baju Melayu, bagi perempuan berbaju kurung atau kebaya
bertudung dan bagi anak-anak lebih berpelbagaian.
Akibat
dari ziarah menziarahi, maka pada hujung-hujung minggu bagi bulan Syawal
jalanraya penuh sesak dengan kenderaan yang antara satu sama lain ziarah
menziarahi dengan pakaian raya berwarna warni dan menarik pandangan.
Pada
satu peringkat sambutan hari raya berlaku di kalangan orang Islam sahaja,
tetapi jemputan juga dibuat terhadap yang bukan Islam dan mereka turut
berziarah hari raya atau mereka dijemput oleh pemimpin, ketua, pihak AJK
penduduk dan sebagainya bagi menghadiri jamuan hari raya.
Kini
bagi mengadakan jamuan hari raya menjadi mantap dengan penggunaan istilah
seperti Hari raya, Hari Terbuka, Rumah Terbuka dan sebagainya yang seolah-olah
hariraya menjadi hariraya bagi semua masyarakat Malaysia.
No comments:
Post a Comment