Sunday, 19 January 2020

DITAHAN AKIBAT TULAR BERITA PALSU

Akibat berkongsi video tular di media sosial dan menulis status hantaran mempertikaikan tugas anggota polis trafik, seorang operator kilang berusia 35 tahun ditahan setelah menyerah diri di Balai Polis Jitra untuk membantu siasatan.

Lelaki itu berkongsi video tular memaparkan penunggang motosikal yang disaman tidak memakai topi keledar dengan status hantaran, “Kacau oo jalan kampung pun nak saman, cari duit sungguh.”

Difahamkan, video tular itu dirakam dalam operasi sekatan polis di jalan Air Hitam-Sanglang dekat Ayer Hitam pada 1 Jun 2019, namun ia ditularkan semula minggu lalu.

Berikutan itu, anggota polis trafik yang dirakam dalam video tular berkenaan membuat laporan pada 13 Januari lalu untuk tindakan lanjut.

Lelaki tersebut direman selama dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

Mengikut seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita berkenaan melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan membawa pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini.

Orang ramai dinasihatkan tidak sesuka menular laporan yang tidak sahih kerana ia boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment